Parti-parti komponen BN di Sabah dan Sarawak wajar "mendapat balasan" selepas menunjukkan sokongan besar pada pilihanraya umum 8 Mac, kata anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Shahrir Abdul Samad.

"Jikalau kita mengambil kira sumbangan mereka, maka mereka harus mendapat balasan dan pertimbangan," katanya seperti laporan Bernama .

shahrir samad 250907 Mengulas rasa tidak berpuas hati parti-parti komponen Sabah terhadap keanggotaan kabinet baru-baru ini, ahli parlimen Johor Bahru itu berkata perkara tersebut akan diputuskan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad berkunjung ke dua negeri tersebut tidak lama lagi.

Sehari selepas pengumuman kabinet, BN Sabah dilaporkan kecewa apabila tidak diberikan lebih banyak jawatan utama walaupun negeri itu dan Sarawak menyumbang jumlah kerusi yang besar di Dewan Rakyat.

Daripada 140 kerusi BN di parlimen, 51 dimenangi di Malaysia timur. Parti-parti pembangkang kini memperolehi 82 kerusi - dua daripadanya di Sabah dan Sarawak.

mohd shafie apdal Timbalan ketua perhubungan Umno Sabah, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata pemimpin-pemimpin negeri itu meluahkan rasa kecewa kerana harapan mereka begitu tinggi untuk mendapat jawatan kanan.

Sebaliknya mereka perhatikan negeri-negeri yang berprestasi kurang baik dalam pilihanraya umum tetap diutamakan.

bernie Tan Sri Bernard Dompok, presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), meluahkan sikapnya yang sama dengan pemimpin Sabah itu.

Hari ini, pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman, dilaporkan berkata BN negeri berharap ahli parlimen dari negeri ini diberi lebih banyak tempat dalam kabinet persekutuan.

Pengunduran ahli parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, daripada jawatan timbalan menteri pengangkutan sejurus selepas namanya diumumkan dalam barisan kabinet 18 Mac lalu dipercayai ada kaitan dengan bantahan BN Sabah - pendirian yang sama diambil ahli parlimen Jerantut, Pahang, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar.

Begitu juga pendirian Datuk Dr Tiki Lafe, daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), yang tidak dilantik semula menganggotai kabinet dan ahli parlimen Serian, Richard Riot, daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), yang tidak tersenarai.

Terbaru, pengunduran Datuk Ghapur Salleh daripada jawatan timbalan menteri sumber asli dan alam sekitar turut membangkitkan persoalan yang sama walaupun beliau memberikan alasan berbeza.