Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasat Dr M, sekat BPR bongkar rasuah
Diterbitkan:  Apr 3, 2008 7:30 PM
Dikemaskini: 6:32 PM

Tun Dr Mahathir Mohamad wajar disiasat berhubung dakwaan cuba menghalang Badan Pencegah Rasuah (BPR) membongkar kemungkinan penyelewengan pegawai kanannya di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

param cumaraswamy Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) Malaysia berkata ia mengalu-alukan siasatan dibuka terhadap mantan perdana menteri seperti disarankan oleh bekas pegawai khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Datuk Param Cumaraswamy (foto) hari ini.

Param dilaporkan menggesa Dr Mahathir disiasat bersabit campur tangannya dalam siasatan BPR terhadap seorang pegawai tinggi di JPM seperti didakwa oleh Datuk Shafee Yahya ketika memberi keterangan di mahkamah dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2000.

Dalam keterangannya, Shafee berkata Dr Mahathir marah kepadanya apabila beliau memaklumkan telah menemui sejumlah besar wang tunai di pejabat ketua pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU) pada 1998.

Pengerusi GERAK, Mohamad Ezam Mohd Nor berkata "menjadi mantan perdana menteri tidak memberinya satu kekebalan daripada (disiasat) penyelewengan sewaktu memegang jawatan itu."

"Dr Mahathir juga harus dipersalahkan atas krisis yang muncul kini dalam badan kehakiman, polis dan BPR," katanya, "dan jika kita sebagai satu bangsa mahu maju lagi, kita mesti membetulkan kecacatan dalam sistem bernegara dengan membongkar akar umbi permasalahan dan membanterasnya."

Menurut Param, seperti kenyataannya yang diedarkan kepada media semalam, sebahagian keterangan Shafie yang beliau maksudkan seperti berikut:

Peguam bela : Adakah Datuk menggeledah pejabat ketua pengarah EPU di JPM?

Saksi (Shafee): Ada

Peguam

: Ada sesiapa yang meminta anda menutup kes itu?

Saksi : Ya, perdana menteri (Dr Mahathir).

Peguam : Ceritakan keadaan yang menyebabkan perdana menteri meminta anda menutup siasatan itu.

Saksi : Ya, saya dimarah, "beraninya anda menyerbu pejabat pegawai kanan saya?" Saya terperanjat dan menjawab "ia dibuat berdasarkan satu aduan pihak yang terlibat."

Saya menjalankan tugas seperti diperuntukkan undang-undang. Beliau (Dr Mahathir) menuduh saya cuba memerangkap bekas ketua pengarah EPU.

Saya menjawab, tidak benar sama sekali kerana salah di sisi undang-undang memerangkap seseorang. Sebagai seorang Islam, berdosa besar mengenakan orang lain.

Beliau bertanya saya "apakah Anwar menyuruh anda menggeledah pejabat itu?" Saya jawab "tidak".

Peguam : Bagaimana nada perdana menteri apabila beliau bertanyakan sama ada Anwar menyuruh anda menggeledah? Apakah nadanya marah atau perbualan biasa?

Saksi : Nadanya seperti menuduh (saya).

Peguam : Selepas anda dimarahi perdana menteri, apakah anda memberitahu kejadian itu kepada sesiapa?

Saksi : Saya maklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara.

Peguam : Apakah reaksi anda apabila dimarahi perdana menteri dan menyuruh anda menutup kes itu terhadap ketua pengarah EPU?

Saksi : Saya sangat kecewa dan apabila tiba di rumah, saya beritahu isteri bahawa saya mahu meletakkan jawatan.

Tetapi kerana saya ada tempoh dua atau tiga bulan lagi - isteri saya memujuk agar tidak meletakkan jawatan.

Peguam : Kenapa anda rasa begitu kecewa dan mengambil keputusan untuk letak jawatan?

Saksi : Dalam sejarah kerjaya saya dengan kerajaan, inilah kali pertama ketua saya menuduh saya cuba mengenakan seseorang dan juga kecewa dengan cara perdana menteri campur tangan dalam bidang tugas saya.

ADS