Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Berundur: Hishammuddin tiada pilihan
Diterbitkan:  Apr 4, 2008 1:22 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein tiada pilihan, kecuali mengosongkan jawatan tersebut dalam pemilihan Disember ini bagi meredakan kemarahan rakyat terhadap parti itu, khususnya pergerakan tersebut.

Tidak dapat dinafikan, isu beliau menghunus keris di perhimpunan agung Pemuda sejak dua tahun lalu turut mempengaruhi undi, khususnya bukan Melayu, dalam pilihanraya umum 8 Mac.

"Tindak-tanduk beliau menghunus keris itu jelas tidak disenangi bukan Melayu, termasuk dari kalangan parti komponen BN sendiri.

"Oleh itu, keputusan beliau untuk melepaskan jawatan ketua Pemuda Umno, boleh dianggap satu langkah sewajarnya bagi meredakan keadaan," kata seorang pemimpin Pemuda Umno negeri.

hishammuddin hussein 03 Semalam, menteri pelajaran itu mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti 16-20 Disember ini.

Beliau bagaimanapun tidak pula menyatakan jawatan yang akan ditandinginya, sebaliknya menyerahkan perkara itu untuk ditentukan oleh ahli.

Ditanya mengenai ucapan dan kenyataan naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sebelum ini, yang dianggap memperlekehkan sumbangan parti-parti komponen BN yang lain, pemimpin tersebut berkata:

"Saya rasa Khairy menyedarinya... kerana itulah sehingga ini beliau mendiamkan diri...," katanya lagi.

Menurutnya, walau apa juga alasan yang diberikan oleh Hishammuddin, beliau percaya ahli parlimen Sembrong itu telah dinasihatkan untuk melepaskan jawatannya dalam pergerakan Pemuda.

"Kehadiran berterusan beliau sebagai pemimpin Pemuda Umno boleh membuat pelbagai pihak terus mencurigai pendirian pergerakan tersebut terhadap kaum lain," tambahnya.

ADS