Wakil-wakil rakyat BN Selangor mengumumkan pembentukan 'barisan exco bayangan' khusus untuk memastikan exco kerajaan negeri campuran PKR, DAP dan PAS - menjalankan tugas dengan baik.

Barisan exco bayangan ini terdiri daripada 16 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Pembangkang Selangor

yang diketuai Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo selaku ketua pembangkang.

"Kami telah setuju untuk menjaga semua exco yang ada hari ini supaya menjalankan tugas dengan baik.

"Selain Ketua Pembangkang, kami turut melantik timbalan ketua pembangkang, setiausaha dan bendahari," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan wakil-wakil rakyat BN negeri itu di Shah Alam hari ini.

"Exco bayangan ini juga mempunyai timbalan masing-masing dan dikehendaki mengemukakan soalan mengikut tugas dan portfolio mereka pada setiap persidangan Dewan Undangan Negeri," kata Dr Mohamad Khir yang juga Adun Sungai Panjang.

Menurut Bernama , timbalan ketua pembangkang ialah Datuk Marsom Paing (Adun Dengkil).