Dompok janji bela bukan Islam
Tan Sri Bernard Dompok memberikan komitmennya untuk terus menyuarakan keprihatinan masyarakat bukan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata kerajaan telah berjanji bahawa setiap rakyat mendapat tempatnya di Malaysia.
"Itulah janji dalam manifesto BN dalam pilihanraya umum baru-baru ini. Saya akan pastikan ia ditunaikan.
"Saya akan terus menyuarakan keprihatinan kita (masyarakat bukan Islam)," katanya.
Dompok, yang juga presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), berjanji sedemikian sewaktu berucap di majlis pertemuan Gereja Protestan Sabah ke-33 hari ini.
"Hak-hak kira sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Marilah kita bekerjasama memastikan hak-hak asasi kita, seperti kebebasan beragama, terjamin," katanya.
Katanya, beliau sering memberikan pandangannya dalam isu-isu sensitif seperti undang-undang syariah, murtad, dan larangan menggunakan perkataan Allah bagi bukan Islam.
Tambahnya, kerajaan bersedia mendengar rungutan semua lapisan masyarakat.

