BERITA

PM: Ku Li punca Umno kalah di K'tan

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Apr 2008, 2:59 pagi

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah supaya "melihat diri sendiri" kerana beliau pernah menjadi punca kekalahan parti itu di Kelantan pada 1990.

Malah, tegas presiden Umno, salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan parlimen Tengku Razaleigh juga jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Calon BN di Galas, Saufi Deraman, gagal mempertahankannya dan tewas kepada calon PAS Che Hashim Sulaiman.

Che Hashim menang dengan majoriti 646 undi. Pada 2004, Saufi menewaskan Che Hashim dengan majoriti 1,729 undi.

tengku razaleigh 02 Parlimen Gua Musang mempunyai tiga kerusi DUN - Galas, Nenggeri dan Paloh. Tengku Razaleigh berjaya mempertahankan kerusi parlimennya itu dengan majoriti 4,394 undi berbanding 6,598 pada 2004.

Dalam pilihanraya umum 1990, Tengku Razaleigh yang ketika itu menjadi presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46) telah menyertai barisan pembangkang yang dikenali Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama PAS dan Berjasa.

S46 merupakan parti serpihan Umno yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh apabila Umno diharamkan akibat krisis selepas beliau gagal menumbangkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan presiden Umno pada 1987.

Perhimpunan khas

APU berjaya merampas Kelantan dari BN, PAS dan S46 kemudian menubuhkan kerajaan campuran di negeri tersebut.

Bagaimanapun, Tengku Razaleigh kembali ke pangkuan Umno selepas pilihanraya umum 1995 selepas S46 dibubarkan apabila beliau dan Dr Mahathir saling maaf-bermaafan.

mahathir abdullah ahmad badawi pak lah raising tensions Menjawab soalan di sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua penerangan Umno bahagian di ibu negara hari ini, Abdullah berkata, Tengku Razaleigh pernah dilantik sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, tetapi beliau juga gagal mengembalikan negeri itu ke tangan BN.

Presiden Umno juga kecewa kerana beliau dimaklumkan bahawa Tengku Razaleigh "tidak membantu" Umno Kelantan dalam pilihanraya umum lalu.

Jumaat lalu, Umno bahagian Gua Musang mengadakan perhimpunan khas bagi membincangkan prestasi buruk Umno dalam pilihanraya umum ke-12 dan meluluskan usul menggesa parti itu mengadakan perhimpunan agung luar biasa (EGM) bagi membincangkan isu yang sama, serta mencadangkan beberapa pindaan perlembagaan, termasuk memansuhkan kuota pencalonan jawatan atasan parti.

Tengku Razaleigh juga telah menyatakan hasratnya bersedia dicalonkan bertanding jawatan presiden menentang Abdullah dalam pemilihan Umno Disember depan.

Abdullah juga berkata, beliau tidak faham sikap Dr Mahathir yang seolah-olah bersikap "berdolak-dalik" dalam pendiriannya terhadap kerajaan dan pembangkang.

'Keluar arahan'

"Apabila kita (Barisan Nasional) menang besar dalam pilihanraya umum 2004, beliau kata ini kuat sangat, tak elok, mesti ada pembangkang, seolah-olah beliau dapat terima pembangkang sepanjang masa," kata Abdullah.

"Apabila pembangkang naik (menang besar), saya ingat beliau nak merayakannya, (tapi), beliau hentam kita balik...

"Mengapa boleh jadi begini, nampaknya menang banyak pun tak boleh... sikitpun tak boleh...(jadi) apa yang boleh?" tegas Abdullah lagi.

Selain itu, kata Abdullah, beliau juga didakwa terlalu berkuasa sehingga ahli kabinet dan ahli Majlis Tertinggi Umno tidak berani bersuara, sedangkan menurut beliau lagi, pelbagai sekatan dan arahan dibuat oleh Dr Mahathir sewaktu masih berkuasa.

khairy abdullah badawi umno 200607 "Kononnya zaman saya tidak ada kebebasan, semua orang takut. Tetapi depa kata (kepemimpinan) saya lembik tapi (ada) orang takut kat si lembik - seolah-olah dalam kabinet, (menteri) bodoh belaka, (menantu saya) Khairy (Jamaluddin) seorang yang pandai yang menentukan segala-galanya.

"Tuduhan-tuduhan yang tidak ada batas… hentam begitu sahaja. Apakah pada masa dulu (era Dr Mahathir) tidak ada sekatan-sekatan tertentu…

"Bila Dr Mahahtir mengambil alih jawatan daripada Tun Hussein (Onn), saya tahu reporter semua dipanggil jangan memberi liputan berita kepada Tun Hussein, jangan tunjuk gambar Tun Hussein.

"Operasi Lalang siapa yang bertanggungjawab saya tahu, bukan saya tak tahu," katanya.

Dalam operasi besar-besaran tangkapan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 yang digelar Operasi Lalang, lebih 100 ahli politik termasuk tiga pemimpin Pemuda Umno dan aktivis ditangkap.

Menurut Abdullah lagi, pada zaman Dr Mahahtir, arahan dibuat dari masa ke semasa agar orang tertentu tidak dipilih.

Kini, katanya, ahli-ahli umno sudah berani bercakap memberi pelbagai kisah dan peristiwa yang berlaku masa dulu ketika Dr Mahathir masih berkuasa.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.