Kempen selamatkan MCA
Kempen selamatkan MCA yang diterajui oleh beberapa pemimpin dan ahli MCA yang tidak senang dengan pucuk pimpinan parti itu sekarang dilancarkan di Ipoh malam.
Mereka menyalahkan presiden parti itu, Datuk Seri Ong Ka Ting atas kekalahan teruk MCA dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
“Presiden (MCA) Ka Ting telah menerajui parti selama lima tahun sekarang dan telah dua kali berdepan dengan pilihanraya umum.
"Berdasarkan keputusannya, beliau akan diingat sebagai presiden MCA yang paling teruk," kata timbalan ketua MCA bahagian Ipoh Timur dan bekas ahli parlimen Lumut, Dr Yap Yit Thong di satu majlis perjumpaan di sebuah hotel di Ipoh malam tadi.
Yap adalah pengerusi 'Jawatankuasa Kempen Selamatkan MCA" yang akan menjelajah ke seluruh negara.
Seingat beliau, katanya, tiada ada apa pun sumbangan yang dibuat oleh Ka Ting selaku presiden MCA.
“Sebaliknya... beliau (Ka Ting) telah menyumbang empat negeri kepada pembangkang - Kedah, Penang, Perak dan Selangor,” tambahnya.
Yap menyifatkan MCA sebagai sebuah keretapi yang menarik 40 gerabak dalam perjalanan 'pilihanraya', menuju ke satu destinasi yang ditetapkan sendiri oleh presiden parti.
“Sepatutunya keretapi itu yang membawa (40 calon parlimen sebagai penumpangnya) ke destinasi yang indah, (tetapi) presiden memilih untuk membawanya ke destinasi yang mengerikan dan mengalami kecederaan selepas perjalanan itu diserang oleh roket (DAP), di bawah sinaran bulan (PAS) dan renungan mata (PKR)," katanya.
'Ong bersaudara'
Sambil menyalahkan kepimpinan 'Ong bersaudara" sebagai punca kekalahan MCA di Perak, Yap secara khusus menuding jari ke arah pengerusi Ong Ka Chuan yang didakwanya menjadi punca kekalahan parti itu di Perak.
Ka Chuan, yang juga setiausaha agung MCA, adalah abang kepada Ka Ting. Ka Chuan dilantik sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan.
Dr Yap juga menggesa ahli dan penyokong di seluruh negara supaya menyertai kempen yang mendesak reformasi dalam kepimpinan tertinggi parti, menjelang pemilihan parti itu Ogos depan.
“Kepimpinan dinasti Ong dalam parti tidak boleh dibiarkan berterusan," tegasnya.
“Kita tidak boleh membuka peluang kepada Ka Ting untuk terus berkhidmat sebagai presiden parti. Ka Ting suka menganggap dirinya sebagai budak kampung naik basikal. Apa yang anda boleh harapkan dari seorang budak kampung naik basikal dalam kurun ke-12," katanya.

