Najib gembira diumum pengganti PM
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semalam merupakan kali pertama Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menamakan beliau secara terbuka sebagai pengganti jawatan perdana menteri.
Sebelum ini, katanya, Abdullah pernah menyatakan pendirian tersebut secara tertutup kepada beliau dan beberapa anggota kerajaan.
"Saya berterima kasih dan terharu atas kepercayaan dan keyakinan perdana menteri kepada saya," kata Najib kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Bernama
memetik Najib sebagai berkata permintaan itu bertujuan memantapkan pentadbiran kerajaan untuk menghadapi cabaran masa kini dan untuk melakukan perubahan seperti yang diharapkan oleh perdana menteri.
Semalam, selepas menemui ketua penerangan Umno bahagian di ibu negara, Abdullah berkata beliau tidak ada masalah dengan Najib.
Abdullah menjelaskan perbezaan hubungan baik beliau dengan timbalannya, berbanding 'hubungan bermasalah' di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berbeza dengan Anwar
Perdana Menteri membuat kenyataan tersebut ekoran pelbagai spekulasi yang dilemparkan terhadap beliau dan Najib.
Abdullah berkata, berbeza Anwar dengan Dr Mahathir, timbalannya Najib melihat dirinya sebagai pengganti beliau.
''Bukan macam Anwar yang melihat dirinya sebagai pemimpin alternatif kepada (Tun) Dr Mahathir (Mohamad).
''Sekarang (Anwar) anggap dirinya bakal Perdana Menteri (leader in waiting), dia boleh kata begitu tetapi pada masa ini sayalah Perdana Menteri,'' kata Abdullah lagi.
Lebih 1,000 ahli Umno daripada jentera penerangan parti memenuhi Dewan Tun Hussein Onn bagi mendengar amanat Abdullah selaku presiden parti itu yang disampaikan selama kira-kira dua jam.
Hadir sama Najib, naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

