Peguam sokong hukum bukan Islam
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) memberi sokongan penuh kepada resolusi seminar semakan undang-undang syariah, termasuk cadangan menghukum individu bukan Islam yang berkhalwat dengan pasangan Muslim.
"Pakar-pakar yang mahir dalam bidang masing-masing ini sudah tentulah mengambil kira semua sensitiviti dan kedudukan undang-undang sebelum menggarapnya sebagai cadangan," kata presiden PGSM, Zainul Rijal Abu Bakar hari ini.
"Sebenarnya tidak timbul isu mengenakan atau menguatkuasakan undang-undang syariah ke atas orang bukan Islam kerana pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Sivil."
Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan Jabatan Undang-undang Syariah Malaysia minggu lepas dilaporkan membuat cadangan itu, hasil seminar dua hari semakan perundangan syariah, dan ia akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Seorang pembentang di seminar itu, menurut laporan itu lagi, hakim mahkamah rayuan syariah Datuk Mohd Asri Abdullah berkata orang bukan Islam mungkin boleh dihukum di mahkamah sivil agar "lebih adil".
"Orang Islam akan dihukum di mahkamah syariah... tetapi kami tidak ada kuasa menghukum bukan Islam," beliau dipetik sebagai berkata.
Ketua pengarah Ikim, Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, sehari kemudian bagaimanapun menafikan laporan The Star itu dan menyatakan salah untuk berbuat demikian.
"Pada pandangan kami, orang bukan Islam pada dasarnya tidak boleh didakwa bawah undang-undang Islam kerana secara faktanya mereka tidak menganut Islam.
"Tambahan pula, setakat pengetahuan saya, tidak terdapat sebarang peruntukan bawah mahkamah sivil untuk mendakwa seseorang berkhalwat, dan terlalu awal untuk mengandaikan bukan Islam harus tertakluk pada pertuduhan khalwat di mahkamah sivil," kata Dr Syed Ali.
Zainul Rijal berhujah dalam satu kenyataannya, "jika kita bercakap tentang hak orang bukan Islam untuk melakukan khalwat, berzina dan sebagainya, adakah mereka ini mempunyai hak untuk melanggar undang-undang syariah?
"Sekiranya salah seorang pasangan (yang terlibat dengan khalwat) adalah bukan Islam, maka adakah mereka mempunyai hak untuk berzina sehingga melahirkan anak-anak luar nikah tanpa didakwa?"
Pandangan lengkapnya boleh dibaca di sini .

