Sabotaj: Mungkin tak terima calon
Naib presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak kemungkinan perbuatan mensabotaj parti dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu ada hubungkait dengan ahli-ahli parti yang tidak puas hati dengan senarai pencalonan.
"Mungkin sebab fakta calon, sesetengah kawasan tak terima calon yang diletakkan kepimpinan dan dengan sebab itu tak puas hati.
"Biasanya apabila kepimpinan dah pilih calon, terima sajalah, kerana yang penting bukan calon tapi parti," katanya ketika ditanya punca berlakunya sabotaj, mengakibatkan calon Umno kalah dalam pilihanraya umum lalu.
Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Barisan Nasional (BN) boleh mengekalkan majoriti dua pertiga di parlimen dan mengekalkan Kedah dan Perak sekiranya tidak berlaku perbuatan sabotaj di kalangan parti.
Katanya, tindakan mereka itu mengakibatkan BN, khususnya Umno kalah 14 kerusi parlimen dan 22 kerusi negeri yang dianggap sebagai 'kawasan putih'.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga pengerusi jawatankuasa peraturan dan perlembagaan Umno berkata, sebarang tindakan disiplin terhadap ahli Umno yang didapati mensabotaj parti, perlu dilakukan mengikut peraturan sedia ada dengan saksama, berasaskan fakta dan bukannya fitnah.
'Kena hati-hati'
Bernama memetik beliau sebagai berkata, parti perlu mengumpul bukti dari bahagian terbabit sebelum ia dibawa kepada lembaga disiplin Umno untuk siasatan bagi dibuktikan sama ada bersalah atau tidak.
Menurutnya, jika terbukti bersalah individu atau pihak terbabit perlu diberi peluang tunjuk sebab kenapa perkara itu berlaku sebelum keputusan muktamad diambil.
"Kalau ada bukti sabotaj, maka itu suatu yang terpaksa diambil tindakan kerana perbuatan mereka sebabkan kekalahan (Umno)," katanya kepada pemberita di Subang hari ini.
"Kita kena berhati-hati supaya tindakan yang kita akan ambil itu adil dan bijaksana," katanya merujuk kepada bentuk tindakan disiplin yang boleh diambil, termasuk memecat keahlian anggota yang disabit kesalahan.
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata proses mengambil kenyataan terhadap pihak yang didakwa juga perlu dilakukan secara adil demi kepentingan parti.
"Lembaga disiplin kena main peranan supaya apa sahaja kenyataan yang dibuat, perlu berdasarkan pertimbangan yang betul, saksama, bukan fitnah dan bukan tidak berasas. Mesti tersusun serta mengikut peraturan dan undang-undang," katanya.

