Kompleks sukan kontroversi dibatal
Projek pembinaan pusat sukan berprestasi tinggi di bangunan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di London - yang menimbulkan kontroversi bawah menteri dulu Datuk Azalina Othman Said dua tahun lalu - dibatalkan berkuatkuasa serta-merta hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mengambil keputusan tidak meneruskan projek itu yang dilaporkan memakan belanja RM490 juta.
Keputusan memberhentikan projek itu dipersetujui oleh timbalan perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.
"Keputusan dibuat selepas meneliti semua aspek dan pandangan pelbagai pihak serta harapan yang tipis untuk menampilkan rayuan terhadap keputusan Majlis Bandaraya Brickendonbury yang menolak cadangan pembinaan pusat sukan itu pada Ogos tahun lalu,'' kata Ismail Sabri.
Sejak diumumkan oleh Azalina pada Julai 2006, projek itu mendapat dukungan Najib, yang juga pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, walaupun dipertikai banyak pihak, termasuk anggota-anggota parlimen.
Selain dianggap satu pembaziran, pengkritik juga bimbang pusat sukan itu akan memusnahkan masa depan TARRC sebagai pusat penyelidikan industri berasaskan getah yang terunggul di dunia.
Majlis daerah East Herts menolak permohonan untuk menukar pusat penyelidikan getah itu kepada kompleks sukan pada 15 November tahun lalu dengan alasan faktor alam sekitar dan bangunan warisan.

