Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA: Tolak negara Islam PAS
Diterbitkan:  Apr 14, 2008 4:54 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

MCA tidak akan menerima penubuhan negara Islam yang disuarakan oleh PAS kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kata presidennya Datuk Seri Ong Ka Ting hari ini, mengulangi penolakannya minggu lalu.

Tambahnya, semua peringkat pemimpin parti Islam itu menyatakan hasrat untuk membentuk negara Islam jika mereka berjaya mengambil alih kuasa kerajaan Persekutuan.

Kenyataan para pemimpin PAS itu termasuklah presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan mursyidul am Datuk Dr Haron Din, timbalan menteri besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakup dan ketua Pemuda PAS negeri itu Mohd Zaki Ibrahim.

"(Mereka ini) telah mengeluarkan penegasan untuk mendirikan sebuah negara Islam (di Malaysia)," kata Ong, mengulas kenyataan terbaru para pemimpin PAS selepas penubuhan Pakatan Rakyat awal bulan ini.

"(Kenyataan) ini mendedahkan cita-cita tinggi PAS. Tidak ragu lagi mereka memang mahu menegakkan sebuah negara Islam di Malaysia."

Dalam kenyataannya hari ini, beliau kemudian menyeru semula parti politik dan pertubuhan agar bersama-sama menghalang PAS daripada membangunkan hasratnya itu.

"Sebarang organisasi atau parti yang bekerjasama dengan PAS hanya akan membantu PAS menjayakan agendanya mendirikan negara Islam," tambahnya, dipercayai mengulas kenyataan Pakatan Rakyat kelmarin bahawa gabungan tiga parti pembangkang itu tidak akan menjayakan agenda peribadi parti masing-masing yang berlainan ideologi itu.

Pakatan mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai menjawab laporan media bahawa Dr Haron menyatakan kesediaan PAS berbuat demikian jika berjaya menguasai kerajaan Persekutuan.

Ong menambah, semua parti ini harus menilai kembali hubungannya dengan PAS kerana ia "telah mencetuskan banyak keresahan dalam kalangan rakyat."

ADS