Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Geng PM jawab, hentam musuh politik
Diterbitkan:  Apr 16, 2008 3:01 PM
Dikemaskini: 7:08 PM

Dua akhbar harian melalui lidah pengarang masing-masing menggesa para pemimpin BN "membantu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memenuhi segala janji kepada rakyat".

Lidah pengarang di muka depan Berita Harian dan New Straits Times hari ini juga turut mengkritik ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan mantan menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Penerbitan editorial itu - jarang-jarang berlaku - dipercayai sebagai menjawab desakan demi desakan yang semakin popular meminta Abdullah melepaskan segera jawatan perdana menteri dan presiden Umno.

umno selangor najib muhyiddin event anti pak lah banners 160408 08 Sejak Umno Johor mengemukakan cadangan "pelan peralihan" kuasa Abdullah kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak minggu lalu, suara desakan malah bertambah lantang.

Mereka meminta pelan penggantian kepemimpinan itu disegerakan.

Menjawab goncangan akibat keresahan akar umbi Umno itu, kedua-dua lidah pengarang akhbar bawah Kumpulan NSTP itu menyatakan "tidak adil untuk menyalahkan beliau (Abdullah) semata-mata.

"Perdana menteri memang mempunyai kelemahan dan kita juga akui beberapa janji BN pada pilihan raya umum 2004, tidak beliau penuhi. Sehingga kini pun, beliau tidak pernah menafikan bertanggungjawab."

Selepas pertemuan dengan badan perhubungan Johor, Jumaat lepas, Abdullah mengakui secara terbuka bahawa beliau daripada punca-punca penyebab BN kalah teruk.

nst headline to govt get on the job 160408 Akhbar Berita Harian , senada dengan New Straits Times , menulis: "Tetapi apakah barisan kepemimpinan Umno seluruhnya harus bebas daripada turut sama dipertanggungjawabkan?

"Bukankah mereka juga sebelumnya tidak melakukan apa-apa terhadap keterlanjuran beberapa pemimpin dalam Majlis Tertinggi Umno? Jawapannya ialah mereka bersama-sama bertanggungjawab tetapi memilih untuk Abdullah seorang dipersalahkan."

Kedua-dua harian itu melanjutkan hujah mereka: "pemimpin BN terutama dari Umno masih lagi saling menuding jari."

Ia juga menyatakan: "Dengan mandat yang diberi untuk kembali berkhidmat kepada rakyat - walaupun kurang lapan kerusi daripada majoriti dihajati - BN seharusnya sudah mengorak langkah untuk memenuhi segala janji pilihan raya dengan matlamat menarik semula sokongan mereka lima tahun lagi.

"Malangnya, apa yang berlaku sejak 8 Mac lalu ialah pemimpin BN, khususnya di kalangan Umno, bercakaran sesama sendiri.

"Saban hari kedengaran tuduh menuduh di kalangan pemimpin Umno dan masing-masing cuba menyalahkan orang lain sebagai punca kemerosotan teruk BN pada pilihan raya umum lalu."

Dua lidah pengarang itu, daripada syarikat media yang mewakili kepentingan perdana menteri, dipercayai disediakan oleh pihak yang sama dan edisi berbahasa Melayu diterjemahkan daripada bahasa asal.

Ia menimbulkan tanda tanya selepas akhbar berbahasa Inggeris itu semalam menyiarkan sekeping foto penuh makna tersirat - Najib kelihatan sedang tersenyum nakal dan menjeling tajam di belakang Abdullah dengan tajuk utama 'I'll defend my post - says Abdullah' (saya akan pertahankan jawatan - kata Abdullah).

Tajuk itu pula diikuti keterangan "Abdullah will face any challenge for the post of Umno president in party elections in December. It's not yet time for Abdullah to step aside in favour of his deputy Najib."

(Abdullah sedia menerima cabaran untuk jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti pada Disember. Belum tiba masanya Abdullah berundur untuk memberi laluan kepada Najib)

khir toyo interview 171207 Berita Harian seterusnya menyatakan: "Ada yang mahu Abdullah seorang saja bertanggungjawab atas kekalahan (pilihanraya umum 8 Mac) itu sedangkan mereka terlepas daripada tanggungjawab itu.

"Mereka seolah-olah cuba menafikan hakikat bahawa kebencian sebahagian pengundi kepada BN dan Umno yang berputik sejak sekian lama, disuburkan oleh tindak-tanduk mereka sendiri sehingga menghasilkan buah busuk pada pilihan raya umum lalu."

Tindak-tanduk yang dimaksudkan itu termasuklah upacara menghunuskan keris oleh Hishammuddin di persidangan agung Pemuda yang "mengguris hati masyarakat bukan Melayu sehingga pengundi Cina tidak mengundi BN", merobohkan kuil di Selangor dan Dr Mohamad Khir menghadiahkan penyapu kepada kakitangan awam sehingga "menyebabkan ramai kakitangan awam dan pengundi Melayu mengundi pembangkang sehingga negeri itu kini bertukar kerajaan."

hishamuddin hussein kissing the keris at umno 57 agm 221106 Seperti dakwaan Abdullah tentang kewujudan sabotaj yang meluas dalam Umno, akhbar-akhbar itu juga mengulangi hujah yang sama.

"Sabotaj di kalangan pemimpin Umno sendiri turut mengubah keputusan pilihan raya umum lalu. Berapa ramai ketua bahagian dan bekas wakil rakyat yang tidak terpilih semula sebagai calon, dilaporkan berkempen untuk mengalahkan calon parti sendiri.

"Malah ada ketua bahagian yang tidak mengagihkan peruntukan kempen pilihan raya kepada jentera parti kerana mahu menyimpannya untuk kempen pemilihan Umno, menyebabkan penyokong akar umbi marah sehingga berlaku sabotaj," lidah pengarang itu dipetik.

Akhbar dalam kumpulan Media Prima, gabungan media terbesar di Malaysia yang dikaitkan dengan kumpulan penyokong setia Abdullah, berkata lagi:

"Apapun rentetannya nanti, pengunduran Abdullah tidak mungkin dapat menyelesaikan semua masalah. Segala-galanya tidak akan menjadi serba harum dengan hanya seorang dijadikan korban.

"Sama ada disukai atau tidak, ahli Umno di segenap peringkat harus sama-sama memikul tanggung jawab di atas apa saja daripada kekurangan, kelemahan, keangkuhan mahupun keterlanjuran yang membuat pengundi menolak mereka.

"Rakyat sebenarnya mengharapkan perubahan dan tindakan, bukannya keasyikan Umno untuk terus berbalah sesama sendiri."

ADS