Boikot 1 Mei: Cuepacs putuskan esok
kemaskini 9:11pm Majlis Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk memutuskan sama ada akan meneruskan hasratnya memboikot sambutan Hari Pekerja.
Hari ini kerajaan bersetuju menerima lima tuntutan kesatuan itu. Tuntutan untuk mendapatkan saguhati sebanyak RM2,000 bagi menggantikan bonus telah ditolak.
Presiden Cuepacs Omar Osman berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan di pejabat kesatuan itu di ibu negara jam 3 petang esok.
Cuepacs mengadakan perjumpaan dengan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selama sejam petang tadi untuk membincangkan perkara itu.
"Kita hendak memberitahu majlis Cuepacs, bahawa perdana menteri telah menolak permohonan pembayaran honorarium kepada kakitangan kerajaan.
"Mesyuarat tersebut juga akan membuat keputusan sama ada rancangan memboikot sambutan hari pekerja diteruskan atau tidak," katanya.
Pada 2 April, Cuepacs mengumumkan akan memulaukan sambutan Hari Pekerja yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia pada 3 Mei dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Mei ini jika kerajaan gagal memenuhi lima permintaannya.
Omar sebelum ini berkata, dua majlis peringkat kebangsaan itu yang akan dipulau oleh Cuepacs ialah sambutan Hari Pekerja anjuran Kementerian Sumber Manusia di Stadium Bukit Jalil dekat Kuala Lumpur dan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hujung bulan depan.
Cuepacs bercadang menganjurkan sambutan Hari Pekerja berasingan di Johor Bahru pada 1 Mei yang dijangka dihadiri 1,000 wakil kesatuan dari seluruh negara.

