Amnesty International (AI) Malaysia menafikan kenyataan timbalan ketua polis negara Datuk Ismail Omar dan menyifatkannya sebagai "silap dan ulasannya mengelirukan".

Laporan AI, yang berpangkalan di London, bertajuk " Death Sentences and Executions in 2007 " tidak bermaksud ia mendakwa polis Malaysia membunuh di luar proses undang-undang atau secara senyap-senyap tanpa proses tatacara yang jelas.

"Laporan itu hanya menyatakan fakta sedia ada bahawa maklumat tentang pembunuhan dan hukuman mati di Malaysia ... dijalankan secara rahsia," kata penyelaras AI Malaysia, K. Shan.

k shan Beliau memetik laporan itu yang diterbitkan Selasa: " ... Amnesty International remains concerned that executions may have taken place in Mongolia and Malaysia. However, due to the secretive nature of the use of the death penalty the organization was unable to obtain reliable information."

(Amnesty International memandang berat pembunuhan yang mungkin terjadi di Mongolia dan Malaysia. Bagaimanapun, akibat kerahsiaan sewaktu menjalankan hukuman mati, pertubuhan ini (AI) tidak memperolehi maklumat jelas).

Agensi berita Bernama kelmarin melaporkan polis menafikan dakwaan bahawa Malaysia "antara negara yang mungkin mengamalkan pembunuhan secara rahsia bagi mengawal statistik jenayah tahunan" sebagai tidak berasas.

Ismail menambah, polis sentiasa menjalankan tugas dengan profesional dan siasatannya terbuka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar pula semalam mengecam AI berhubung laporan itu.

Beliau berkata ia "berniat jahat untuk menjatuhkan nama baik Malaysia" dan mendakwa mereka yang menyediakan laporan itu "jahil".

"Mana dia dapat laporan begitu pun saya tak tahu, adakah dia jumpa sesiapa atau mendengar khabar angin. Orang sekarang terlalu berminat untuk menjatuhkan nama baik Malaysia.

"Kita tidak ada pembunuhan rahsia, siapa sahaja yang membuat kesalahan, ada proses undang-undang, kita mana boleh membunuh orang begitu sahaja, Malaysia adalah negara yang mendaulatkan undang-undang," beliau dipetik sebagai berkata selepas melawat Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).

Syed Hamid berharap Wisma Putra mengambil tindakan membantah kenyataan tersebut.