eksklusif Keputusan tidak meneruskan projek pembinaan Pusat Latihan Prestasi Tinggi (PLPT) dekat London sebagai pusat persiapan atlet Malaysia menghadapi Sukan Olimpik 2012 telah muktamad.

Menteri belia dan sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi jawatankuasa kabinet mengenai pembangunan sukan, bersetuju dengan keputusan tersebut.

ismail sabri yaakob "Seperti yang diketahui sebelum ini, permohonan kita untuk membina PLPT di Brickedonbury telahpun ditolak oleh Majlis Jawatankuasa Kawalan Pembangunan Timur Herts.

"Pihak kementerian boleh membuat rayuan dan membuat permohonan baru (kepada majlis itu)," katanya dalam temubual dengan Malaysiakini di Putrajaya kelmarin.

Ismail Sabri bagimanapun menambah, "mereka tidak mahu meluluskannya dan kita (kerajaan) tidak mahu membuat rayuan lagi. Kerana kita berpandangan jika membuat rayuan sekalipun, ia tetap tidak diluluskan.

"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak.

"Mengapa (atlet kita) hendak berkumpul di London kerana kita juga menerima laporan bahawa berlatih dalam cuaca pada musim sejuk tidak sesuai untuk atlet negara kita," katanya lagi.

Menyentuh mengenai jumlah perbelanjaan yang dihabiskan oleh kementerian bawah pentadbiran menterinya dulu Datuk Seri Azalina Othman Said untuk projek pembinaan PLPT itu, Ismail Sabri berkata ia masih di peringkat kajian.

azalina othman "Saya sedang mengkajinya, saya tidak menafikan memang ada perbelanjaan yang dikeluarkan... dari segi kos untuk menggaji perunding, perbelanjaan penerbangan dan sebagainya.

"Tugas saya ialah sama ada meneruskan atau tidak projek itu dan keputusan telah dibuat, kita tidak akan meneruskannya," katanya.

PLPT terletak di kawasan seluas 16 hektar di utara London, kira-kira 24 kilometer dari tapak perkampungan Sukan Olimpik London 2012.

Laporan awal menyebut kosnya PLBT menelan RM490 juta.

Berikutan keputusan tersebut, kementerian belia dan sukan (KBS), kata Ismail Sabri, mengambil langkah untuk mengenal pasti negara-negara baru bagi mengadakan latihan bersama.

Beliau berkata, atlet negara akan dihantar ke negara berkenaan apabila musim panas, dan ketika musim sejuk, atlet mereka datang berlatih ke negara ini.

"Apabila atlet mereka datang berlatih di Malaysia, mereka menanggung semua perbelanjaan dan ini menguntungkan kita," katanya lagi.

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan mengenal pasti negara-negara terbabit berdasarkan reputasi mereka di pelbagai kejohanan bertaraf tinggi.

Katanya, pemilihan negara-negara tersebut berdasarkan kepada reputasi tinggi dalam acara-acara sukan di peringkat antarabangsa.

"Misalnya atlet renang kita hantar berlatih di China, manakala untuk atlet memanah kita memilih Korea Selatan," katanya lagi.

Bagi latihan di dalam negara, Ismail Sabri berkata, setiap negeri akan dijadikan pusat kecemerlangan sukan berdasarkan kebolehan melahirkan atlet-atlet berprofil tinggi.

Sebagai contoh, katanya, Terengganu akan dipilih sebagai pusat kecemerlangan sukan basikal berikutan kejayaan negeri itu melahirkan atlet-atlet berbakat besar dalam acara tersebut.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kementerian sedang membuat kajian secara menyeluruh mengenai peranan persatuan-persatuan sukan dan prestasi atlet di bawah naungan mereka.

Katanya, kementerian mahu mengetahui dan mengenal pasti acara sukan bertaraf dunia seperti badminton dan hoki dan kemampuan pasukan negara di pentas antarabangsa.

"Kita akan memperkenalkan indeks prestasi utama (KPI) kepada setiap badan sukan dan kegagalan mencapai KPI menyebabkan peruntukan kewangan boleh dikaji semula.

"Setiap persatuan ada sasaran masing-masing yang akan dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM)," katanya lagi.

Ismail Sabri berkata, pihaknya tidak mengetahui masalah yang menyebabkan pencapaian atlet negara tidak konsisten khususnya di peringkat dunia.

"Mungkin kerana masalah persatuan-persatuan sukan, kerana itu kita membuat kajian mengenai perkara itu untuk mengenal pasti dan mencari jalan penyelesaian," tambahnya lagi.