Untung Bursa M'sia merosot 40 peratus
Bursa Malaysia melaporkan bahawa keuntungan bersihnya merosot 40 peratus dalam suku tahun pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Bursa saham melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM42.1 juta, berbanding RM70.2 juta bagi tempoh tersebut tahun lalu.
Bagi suku tahun pertama yang berakhir pada 31 Mac 2008, perolehan operasi Bursa Saham merosot 28 peratus kepada RM88.9 juta, berbanding RM124.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
"Kemerosotan ini, pada asasnya, disebabkan oleh kemerosotan perolehan daripada urusniaga ekuiti ekoran keadaan pasaran yang turun naik dan mencabar," kata kenyataan tersebut.
Pasaran ekuiti mencatatkan purata urusniaga harian bernilai RM2 bilion berbanding RM2.8 bilion dalam suku tahun pertama tahun lalu.
"Perolehan urusniaga ekuiti merosot sebanyak 44 peratus kepada RM48.9 juta, berbanding RM86.8 juta tahun lalu.
Keyakinan pelabur
Bagaimanapun, jumlah kontrak derivatif mencatatkan pertambahan sebanyak 1.76 juta kontrak diurusniaga dalam suku tahun pertama tahun ini, berbanding 1.56 juta tahun lalu.
Pertumbuhan positif ini adalah disebabkan oleh permintaan yang kukuh bursa produk derivatif, terutamanya pasaran Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) dan Indeks Hadapan Kuala Lumpur (FKLI).
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata walaupun keadaan pasaran turun-naik, namun urusniaga asing dalam pasaran ekuiti kekal pada kadar yang menggalakkan, dengan pertambahan penyertaan asing kepada 43 peratus dalam 2008, berbanding 37 peratus tahun lalu.
Beliau menyifatkan suasana itu mencerminkan keyakinan pelabur asing dalam pertumbuhan peluang dalam pasaran tempatan.
"Malah, penilaian kita adalah menarik dan setanding dengan bursa-bursa serantau yang lain. Kita percaya fundamental negara adalah kukuh serta pendedahan yang rendah terhadap faktor-faktor luaran, telah menyumbang kepada kekukuhan keyakinan pelabur," tambahnya.

