Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Kembalikan royalti minyak T'ganu
Diterbitkan:  Apr 20, 2008 10:43 PM
Dikemaskini: Apr 21, 2008 3:53 AM

Terengganu menuntut royalti petroleum, yang ditarik balik sejak 2000 sewaktu negeri itu ditadbir PAS, dikembalikan kepada kerajaan negeri.

Perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad menukar wang royalti 5 peratus kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau lebih popular disebut "wang ehsan".

Menteri besar baru Datuk Ahmad Said hari ini menggesa kerajaan Persekutuan menyerahkan pengurusan wang royalti kepada kerajaan negeri, lapor Bernama .

Beliau berkata sudah tiba masanya wang royalti diserahkan sepenuhnya kepada Terengganu bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dijalankan untuk rakyat di negeri ini.

"Kita berharap bahawa kalau boleh kerajaan pusat kembalikan royalti itu, kita cakap terus teranglah... tidak boleh selindung lagi. Kita mengharapkan duit (royalti) dapat kepada kita," beliau dipetik sebagai berkata di Kuala Terengganu hari ini.

ahmad said idris jusoh terengganu Ahmad dilaporkan berkata, sejak DKKP diperkenalkan, semua projek yang menggunakan dana itu disalurkan terus kepada kementerian yang melaksanakannya tanpa merujuk kerajaan negeri menyebabkan banyak projek yang dilaksanakan gagal memberi kesan besar akibat tidak mengambil kira keperluan rakyat.

"Ada projek yang kita rancang... kita akui. Tetapi ada projek yang kita tidak rancang. Tiba-tiba sahaja kita dengar ada projek yang kita dapat.

"Buat jalan dalam hutan dengan kos hingga RM50 juta hingga RM60 juta. Kita hanya mengetahui tentang projek itu apabila ia mempunyai masalah seperti tanah ditarik balik dan sebagainya.

"Ini yang menjadi masalah... sebab terlalu banyak pihak yang menguruskan wang royalti kerana ia adalah wang ehsan. Mereka menggunakan wang kita, jadi apabila kementerian yang buat ia adalah berasaskan kepentingan kementerian semata-mata tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak rakyat Terengganu.

"Ini menimbulkan masalah kepada kerajaan negeri. Saya cakap terus terang, ada sesetengah projek yang saya sendiri secara peribadi tidak berpuas hati kerana dengan kos yang tinggi, tidak memberi keutamaan kepada rakyat sebaliknya orang lain tentukan bukan kita, sedangkan kita tuan rumah," katanya.

Ahmad berkata wang royalti diserahkan kembali, ia akan memudahkan kerajaan negeri merancang projek pembangunan menurut keutamaannya berbanding amalan sekarang yang memerlukan permohonan dikemukakan terlebih dahulu kepada kerajaan pusat.

Kerajaan negeri bawah menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh, selepas merampas kembali Terengganu dalam pilihanraya umum 2004, menarik balik tindakan saman yang difailkan oleh pentadbiran PAS.

PAS, ketika pilihanraya umum baru-baru ini, memasukkan dalam manifestonya usaha menuntut kembali wang royalti ini melalui proses mahkamah.

Isu perbelanjaan wang royalti dikatakan menjadi satu daripada beberapa punca pihak istana tidak melantik semula Idris, dan menggantikannya dengan Ahmad.

ADS