mk-logo
Berita
Syarat jika mahu kebebasan akhbar...
Diterbitkan:  Apr 21, 2008 6:59 AM
Dikemaskini: 7:49 PM

Usaha membuka ruang lebih luas kebebasan akhbar tidak akan membawa erti jika kerajaan masih lagi mengekalkan akta-akta yang menghalangnya terutama Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (APMC), kata Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

"Kelulusan permit penerbitan Suara Keadilan dan janji kerajaan untuk menghormati kebebasan akhbar tidak bermakna apa-apa selagi undang-undang yang menyekatnya, khususnya APMC masih lagi dikekalkan," kata penyelarasnya John Liu, mengulas kenyataan menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam.

syed hamid meets mongul consul 161106 press conference Dalam wawancaranya dengan akhbar The Sunday Star , Syed Hamid bercadang melonggarkan syarat-syarat permit penerbitan akhbar yang kini wajib diperbaharui setiap tahun.

Dengan cadangan baru itu, penerbit akhbar hanya perlu memohon lesen sekali sahaja dan permit yang diberikan bawah APMC tidak perlu diperbaharui setiap tahun seperti amalan kini.

Syed Hamid berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kabinet tidak lama lagi.

Cadangan Kementerian Dalam Negeri itu turut dialu-alukan oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) semalam.

Pengerusi lembaga amanah institut itu, Datuk Azman Ujang berkata cadangan itu wajar bagi mengukuhkan kebebasan media arus perdana yang selama ini dianggap berada bawah kongkongan kerajaan atau parti-parti pemerintah.

Menurutnya lagi, sebagai langkah jangka panjang kerajaan wajar memikirkan untuk menghapuskan lesen menerbitkan akhbar sama sekali kerana negara ini mempunyai akta dan peraturan yang secukupnya untuk mengawal selia syarikat-syarikat akhbar.

Selain tertakluk kepada APMC, akhbar juga terikat dengan sejumlah peraturan lagi misalnya Akta Fitnah, Akta Rahsia Rasmi, Akta Hak Cipta, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Hasutan.

Sebagai entiti perniagaan, syarikat penerbitan juga tertakluk kepada Akta Syarikat yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Biarlah pasaran yang menentukan kelangsungan sesebuah akhbar, bukan lesen kerajaan. Dengan itu imej kerajaan daripada segi ketelusan, integriti juga akan menjadi lebih baik," Azman dipetik sebagai berkata.

makkal ossai anwar ibrahim black 14 160408 MPI sebelum ini menyeru kerajaan agar mengembalikan permit penerbitan kepada Makkal Osai , yang juga anggota institut tersebut.

Suaram berkata, walaupun ia mengalu-alukan hasrat terbaru kementerian itu untuk meluaskan ruang kebebasan akhbar sebagai pengimbang dan penyemak kuasa kerajaan, ia juga meraguinya kerana tindakan kerajaan dalam beberapa hal gagal menunaikannya, malah bertindak bertentangan dengan janjinya.

"Tindakan sewenang-wenangnya mengharamkan Makkal Osai beberapa hari lalu menunjukkan kerajaan tidak tekal dalam komitmennya untuk mempertahankan hak asasi dan kebebasan asas," kata Liu lagi.

Walaupun kementerian mendakwa ia berbuat demikian selepas penelitian panjang terhadap akhbar Tamil itu, kata Suaram lagi, keputusan mengharamkannya tetap juga sewenang-wenangnya.

"Kementerian itu tidak mendedahkan kepada umum garis panduan yang dilanggar pihak akhbar tersebut seperti didakwanya. Jadi bagaimana keputusan itu boleh dipertanggungjawabkan? Lagipun tidak ada semakan bebas terhadap keputusan KDN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

harakah frontpage 240403 Ketua pengarang Harakah , yang kini diterbitkan dua kali sebulan sejak 2000, juga mengalu-alukan kenyataan Syed Hamid.

Ahmad Lutfi Othman berkata, usaha mendapatkan permit asal - dua kali seminggu - akan dibawa dalam mesyuarat lembaga pengarah akhbar rasmi PAS itu pada 23 April.

"Bagi pihak Harakah , saya rasa sepatutnya KDN tidak menetapkan kekerapan penerbitan, sama ada sebulan sekali atau seminggu sekali. Terserah kepada penerbit menentukannya dan biar kuasa pasaran yang menentukan sama ada pembaca mahu membelinya atau tidak," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

PAS juga, tambahnya, akan terus memperjuangkan agar akhbar itu dibenarkan dijual secara bebas, tidak terhad kepada ahli atau diletakkan di bilik-bilik gerakan parti seperti disyaratkan oleh KDN sebelum ini.

Beliau bersetuju KDN memberikan permit penerbitan kepada akhbar PKR itu walaupun "sudah terlewat tiga tahun" tetapi langkah itu hanya menimbulkan kekeliruan orang ramai selepas Makkal Osai diharamkam.

"Sepatutnya, KDN memulihkan kembali permit Makkal Osai ," katanya.

Beberapa penerbitan yang diusahakan oleh Ahmad Lutfi seperti majalah-majalah Detik dan Wasilah beberapa tahun lalu diharamkan dan turut dirampas penguatkuasa KDN.

Mengulas saranan MPI, beliau berkata perjuangan PAS dan beliau sendiri selama bertahun-tahun sejajar dengan tuntutan institut itu, yakni ke arah menghapuskan permit penerbitan.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini