Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata sistem subsidi minyak di pam perlu distruktur semula ke arah sistem yang lebih adil dan saksama yang membawa manfaat terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Perdana Menteri berkata langkah itu adalah antara pembaharuan yang proaktif dan inovatif yang perlu dilaksanakan segera bagi mengurangkan beban kewangan rakyat, terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

"Kerajaan akan terus prihatin dan komited untuk mengambil perhatian permasalahan yang dihadapi oleh rakyat sama ada dari segi sosio-ekonomi mahu pun kualiti hidup." katanya di majlis konsultasi bajet 2009 di Putrajaya hari ini.

Bernama memetik Abdullah sebagai berkata perkembangan ekonomi negara pada tahun 2007 adalah menggalakkan dan membuktikan negara berada pada landasan yang kukuh, disokong oleh daya ketahanan ekonomi dalaman yang mantap dan struktur ekonomi yang pelbagai.

Walaupun krisis subprima di Amerika berpotensi membawa negara maju ke arah kemelesetan serta persaingan serantau yang sengit akibat pertumbuhan China dan India yang tinggi, beliau berkata cabaran utama adalah kenaikan mendadak harga

komoditi dunia, terutamanya makanan serta minyak yang telahpun melebihi paras AS$110 setong.

"Jika berterusan, fenomena ini bukan saja akan membawa kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi negara tetapi lebih penting lagi meghimpit taraf hidup rakyat melalui tekanan inflasi," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga terpaksa menanggung beban subsidi minyak yang amat tinggi dan untuk tahun 2007 sahaja, ianya telah menjangkau lebih RM33 bilion.

Royalti minyak

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama pada Dialog Integriti Asean 2008 di Kuala Lumpur, Abdullah berkata, pemberian wang ehsan sebagai ganti pembayaran royalti minyak dari kerajaan pusat kepada Terengganu telah membawa kebaikan kepada rakyat negeri itu.

Abdullah mengulas permintaan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said supaya kerajaan pusat mengembalikan pengurusan wang royalti minyak kepada kerajaan negeri itu.

Ahmad berkata penyerahan semula hak pengurusan royalti minyak sebanyak lima peratus itu akan membolehkan kerajaan negeri merancang sendiri projek yang sesuai dengan keperluan rakyat setempat.

Perdana Menteri berkata, pemberian itu yang dibuat menerusi satu langkah yang diputuskan sebelum ini sebenarnya membantu rakyat Terengganu mencapai kejayaan.

"Ada satu kaedah yang telah kita buat dengan kewujudan wang ehsan ini, dan ini sebenarnya membantu rakyat negeri Terengganu selama ini," katanya.