Empat warga asing, termasuk satu keluarga Jepun, ditahan kerana menunjuk perasaan ketika berlangsungnya larian obor sempena Sukan Olimpik Beijing 2008 di Dataran Merdeka di ibu negara tengah hari tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata sepasang suami isteri dari Jepun bersama anak lelaki mereka berumur lima tahun ditahan pada jam 12 tengah hari.

Manakala seorang guru wanita warga New Zealand ditahan pada jam 1.20 tengah hari.

"Warga Jepun itu ditahan kerana membawa banner bertulis 'Free Tibet', manakala guru New Zealand yang menetap di negara ini ditahan kerana memakai kemeja T dan membawa sepanduk yang bertulis slogan yang sama," katanya kepada Bernama .

Mereka dibebaskan sejurus selepas keterangan diambil daripada mereka di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.

"Larian ini berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan," katanya.

Larian obor sempena Sukan Olimpik Beijing 2008 membabitkan larian sejauh 16 km bermula di Dataran Merdeka dan berakhir di Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur (KLCC).

Kawalan keselamatan ketat diadakan, termasuk di beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat, susulan bantahan aktivis terhadap negara penganjurnya China yang dianggap mencabuli hak asasi di Tibet baru-baru ini.