Bekas timbalan setiausaha agung Gerakan, Datuk Lee Kah Choon berkata beliau sedia menerima sebarang kritikan berikutan persetujuannya menerima pelantikan sebagai pengarah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan pengerusi InvestPenang dalam kerajaan negeri yang diterajui DAP.

lee kah choon Katanya, beliau menunggu tindakan daripada pucuk pimpinan Gerakan berhubung kedudukannya dalam parti selepas menerima tawaran memegang kedua-dua jawatan itu daripada kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Kerja saya dalam InvestPenang tidak ada kaitan dengan politik dan tak semestinya saya dalam InvestPenang saya kena berundur dari parti," katanya kepada pemberita.

Menurut laporan Bernama, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menemui Kah Choon di pejabat InvestPenang hari ini.

Ditanya kemungkinan beliau menyertai DAP pada masa akan datang, Lee berkata: "Politik sudah menjadi sejarah buat saya. Biarlah ia begitu."

Ketika ini, kata beliau, tumpuannya akan diberikan untuk melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya dalam PDC dan InvestPenang.

Lee yang memulakan tugas barunya Jumaat lalu, melepaskan semua jawatan dalam Gerakan pada 31 Mac berikutan kekalahan teruk parti itu pada pilihanraya umum lalu.