Pemuda Umno tidak membuat sebarang pendirian mengenai isu peralihan kuasa kepemimpinan Umno dan negara kerana sekarang ‘bukan masanya’, kata seorang exco pergerakan itu.

Pelan peralihan kuasa itu mula menjadi isu panas selepas ia disarankan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pertemuan dengan pemimpin Umno Johor dua minggu lalu.

najib abdullah 100408 "Bukan masanya untuk kita menyatakan pendirian bersama mengenai perkara tersebut kerana masing-masing mempunyai pendapat tersendiri," kata Kamalruzaman Kamdias kepada Malaysiakini , ketika diminta mengulas mengenai kemelut kepimpinan yang berlaku dalam parti itu kini.

Walaupun, begitu, katanya Pemuda Umno perlu memahami akan kehendak akar umbi mengenai penggantian kepemimpinan jawatan teratas - sering dianggap sebagai langkah pemulihan Umno dan BN selepas kekalahan teruk dalam pilihanraya umum 2008.

Katanya, Pemuda perlu bertindak mengikut kehendak akar umbi dan tidak boleh "syok sendiri".

"Suara akar umbi selama ini kurang diberikan perhatian kerana kita mengamalkan (pendekatan) 'atas setuju bawahpun setuju'."

umno 2007 agm pemuda putera umno 051107 Kamarulzaman menambah, bagaimanapun, pembaharuan dalam kepimpinan parti perlu dilakukan sekarang bagi mendapat sokongan ahli dan rakyat secara keseluruhannya.

Menurutnya, walaupun wujud pelan peralihan kuasa, seseorang pemimpin hendakah sedia bertanding mengukur sokongan ahli-ahli.

Tambahnya, masalah akan berlaku jika menyerahkan kuasa semata-mata tanpa mengetahui isyarat ahli mengenai kepimpinan parti.

Sehubungan itu beliau mencadangkan proses demokrasi dalam parti dikembalikan iaitu membenarkan semua jawatan dipertandingkan dalam pemilihan hujung tahun ini.

Beliau berkata, tidak boleh lagi amalan sekarang iaitu pemimpin atasan yang membuat keputusan untuk dipatuhi di peringkat bawahan.

"(Cara) ini yang Umno amalkan sekarang ini. Kita sudah tidak ikut perlembagaan parti dan bertindak mengikut (kehendak) akar umbi.

"Perlembagaan Umno membenarkan pemilihan jawatan setiap tiga tahun tetapi perkara ini telah kita lupakan. Dalam pemilihan, kita tidak ikut perlembagaan parti.

"Biar ahli yang memilih pucuk pimpinan parti dan cara ini boleh memuaskan hati semua ahli-ahli Umno kerana mandat ahli lebih penting dari persepsi," katanya.

Kamarulzaman, yang juga ahli jawatankuasa bahagian Umno Kuala Pilah, bagaimanapun enggan mengulas sama ada beliau menyokong atau tidak peralihan kuasa dalam parti.