Penduduk pekan Pasir Puteh di Kelantan gempar semalam apabila seekor kerbau jantan tiba-tiba mengamuk mengejar kanak-kanak, memusnahkan dua buah motosikal, memasuki balai polis dan rumah kediaman.

Walaupun 15 das tembakan dilepaskan ke badannya oleh seorang individu untuk melumpuhkannya, kerbau berumur tiga tahun itu masih mampu mengejar sesiapa yang dijumpainya selama beberapa jam.

Menurut pemiliknya Ismail Majid, 56, kerbau itu mungkin "kecewa" kerana kalah ketika berlaga dengan kerbau lain di Kampung Baru berhampiran pekan itu.

Beliau menambah, kerbau itu mengamuk setelah melepaskan diri dari tali yang menambatnya yang terputus kira-kira jam 4.30 petang, lapor Bernama .

Katanya, kerbau bernilai RM3,000 itu akhirnya rebah dan disembelih apabila enam anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh yang diketuai Mohd Fauzi Ramli menjeratnya selepas berhempas-pulas menghambat dan mengepungnya selama tiga jam.

Mohd Fauzi berkata pasukan bomba menggunakan tali khas untuk menjerat kaki kerbau itu menyebabkan ia rebah di kawasan kediaman bekas ketua bahagian Umno Pasir Puteh, Datuk Mohamed Idris.

Turut membantu, anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), polis dan orang awam.

Sementara itu Mohamed berkata kejadian di kawasan rumahnya itu amat menakutkan keluarganya dan bersyukur tiada yang tercedera kerana sempat melarikan diri dan berlindung di dalam rumah.