Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

KDN hidupkan semula Makkal Osai

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

kemaskini 5:50pm Kerajaan tiba-tiba berubah fikiran seminggu selepas mengharamkan penerbitkan akhbar harian berbahasa Tamil, Makkal Osai - yang dianggap tindakan bertentangan dengan hasrat perdana menteri mendengar hasrat rakyat dalam pilihanraya umum lalu.

Permit penerbitannya telah diperbaharui dan akhbar berkenaan akan dikeluarkan seperti biasa mulai Sabtu ini.

Kelulusan tanpa syarat Kementerian Dalam Negeri itu diperolehi jam 3.30 petang ini, kata pengurus besarnya SM Periasamy.

Beliau berkata, kegagalan menerbitkan harian itu dalam tempoh tersebut mengakibatkan kerugian sekurang-kurangnya RM400,000.

makkal ossai anwar ibrahim black 14 160408 Pada 16 April lalu, akhbar tersebut menerima surat dari pada KDN memaklumkan permit penerbitannya tidak diperbaharui sejak tamat Oktober tahun lepas.

Kementerian itu tidak menyatakan sebab-sebab lesen penerbitan tidak dilanjutkan.

Dalam sidang medianya untuk mengumumkan berita baik itu, Periasamy turut mengucapkan terima kasih kepada KDN.

Harian tersebut yang dikait rapat dengan bekas timbalan presiden MIC Datuk S Subramaniam, kemudiannya membuat rayuan.

Sumber-sumber dalaman syarikat itu mendakwa tindakan kementerian diambil terhadap Makkal Osai dipercayai kerana memberi liputan meluas terhadap berita-berita mengenai pembangkang dan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).

Harian terbaru itu diterbitkan mulai 2005, menyertai dua lagi akhbar untuk etnik India, Tamil Nesan dan Malaysia Nanban .

Makkal Osai , yang berpejabat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, menggajikan kira-kira 100 kakitangan.

Makkal Osai atau "suara rakyat" - diterbitkan sebagai tabloid mingguan sejak 1990 selepas Tamil Osai tidak lagi beroperasi - diedarkan sebanyak 52,000 naskhah sehari.

Selang beberapa hari selepas pengharaman harian Tamil ini, menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar bercadang melonggarkan syarat-syarat permit penerbitan akhbar yang kini wajib diperbaharui setiap tahun.

Dengan cadangan baru itu yang disuarakan beliau hujung minggu lalu, penerbit akhbar hanya perlu memohon lesen sekali sahaja dan permit yang diberikan bawah APMC tidak perlu diperbaharui setiap tahun seperti amalan kini.

Syed Hamid berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kabinet tidak lama lagi.