Umno hari ini memfailkan petisyen pilihanraya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu - yang pertama di Terengganu selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Petisyen itu difailkan oleh seorang pengundi di kawasan DUN berkenaan, Mahari Endut, 48, yang juga merupakan ketua Umno cawangan Lorong Kemunting, pada jam 11.30 pagi dan diserahkan kepada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurulhuda Akmar.
Petisyen yang difailkan melalui firma guaman Shafee & Co itu, antara lain, memohon mahkamah membuat pemeriksaan rapi dan pengiraan semula terhadap 127 undi pos di kawasan DUN berkenaan yang ditolak oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum dikira.
Menurut laporan Bernama, dalam pilihanraya lalu, kerusi bagi DUN Ladang dimenangi oleh Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dari PAS dengan majoriti 31 undi.
Berdasarkan kiraan, Tengku Hassan memperoleh 6,723 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Hisham Wan Salleh memperoleh 6,692 undi.
Dalam petisyen itu, pegawai pengurus pilihanraya bagi Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim dinamakan sebagai responden pertama manakala SPR dan Tengku Hassan, masing-masing responden kedua dan ketiga.
