Rang daftar pemilih tambahan bagi suku tahun pertama 2008 dipamerkan di tempat awam selama seminggu mulai hari ini hingga 4 Mei bagi semakan pihak-pihak berkenaan.
Daftar pemilih itu akan dipamerkan di 855 tempat di seluruh negara:
14 pejabat pilihanraya negeri,
417 pejabat pos berkomputer,
55 kompleks dan pejabat kerajaan,
159 pejabat daerah dan pejabat tanah,
43 pejabat majlis daerah, pejabat majlis perbandaran, dewan serbaguna, pejabat Rukun Tetangga, balai raya, pejabat penghulu dan dewan, serta
12 tempat lain.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataannya semalam meminta warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai di dalam rang daftar pemilih itu, supaya membuat tuntutan menggunakan Borang B dan menyerahkannya kepada pengarah pilihanraya negeri dalam tempoh tujuh hari dari tarikh ia dipamerkan.
Menurut laporan Bernama , pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihanraya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam rang daftar pemilih boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.
Turut dipamerkan, nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih itu.
Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun pertama (Januari hingga Mac 2008), SPR menerima 75,484 permohonan sebagai pemilih baru dan 18,385 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar.
Orang ramai juga boleh melayari laman web SPR di http://www.spr.gov.my untuk semakan rang tersebut.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-88 85 65 00 atau pejabat pilihanraya di setiap negeri.
