Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menganggap permohonan maaf ketua Pemuda Umno berhubung isu keris sebagai "tindakan yang ikhlas dan berani".

umno 2007 pemuda keris 061107 unsheath "Datuk Seri Hishammuddin (Hussein) telah mengambil satu pendirian yang boleh saya katakan tindakan yang ikhlas," katanya selepas mesyuarat majlis tertinggi (MT) Umno petang ini.

"Kalau pendirian beliau itu menyebabkan berlakunya salah pandangan dan orang marah..., maka beliau sendiri, bukan saya. (Saya) tidak menasihati beliau, Datuk Seri Najib (Razak) tidak nasihat pun, tiba-tiba beliau telah meminta maaf.

"(Tindakannya) itu adalah satu langkah yang berani kerana dia memahami nanti banyak juga orang Melayu yang akan berasa marah kepada beliau."

Beliau berharap permohonan maaf Hishammuddin minggu lalu dapat meredakan isu tersebut dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.

Dalam mesyuarat MT hari ini, katanya, tiga isu utama dibangkitkan - kemerosotan undi BN, krisis makanan dan program untuk golongan berpendapatan rendah.

Reaksi Hisham

Sementara itu, Hishammuddin ketika ditemui pemberita, menyifatkan kenyataan Abdullah itu sebagai langkah ke hadapan, sejajar dengan kehendak rakyat yang mahu perubahan.

Beliau yang juga menteri pelajaran mengulangi bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pemohonan maaf itu dan bersedia menerima sebarang risiko.

"Apabila membuat sesuatu keputusan saya ambil kira semua aspek, takkanlah saya tak fikir kedudukan politik saya sendiri. Tetapi dengan ikhlas saya sanggup korbankan karier politik saya sendiri demi parti," katanya.

Hishammuddin juga menegaskan, beliau berbuat demikian bukan atas tekanan mana-mana pihak, tetapi berbuat demikian supaya isu keris itu tidak lagi dimanipulasi oleh sesiapa lagi pada masa akan datang.

Ditanya sama ada beliau akan menghunus keris Panca Warisan dalam perhimpunan agung Pemuda Umno Disember ini, beliau berkata perkara itu akan dibawa kepada Pemuda Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS