Umno bahagian Bandar Tun Razak akan mengadakan mesyuarat khas ahli jawatankuasanya(AJK) malam ini untuk membuat keputusan sama ada akan meneruskan perhimpunan khas (EGM) yang dijadualkan Khamis ini.

Keputusan baru ini ekoran keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam yang mahukan semua bahagian berhenti meneruskan EGM untuk membincangkan soal peralihan kuasa dalam kepimpinan Umno dan kerajaan.

Ketua bahagian berkenaan Datuk Rahim Baba berkata, mesyuarat malam ini sebagai menghormati keputusan MT berhubung perkara tersebut.

"Bagaimanapun, MT juga perlu menghormati sebarang keputusan majoriti AJK untuk mengadakan EGM," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Rahim berkata, AJK bahagian Bandar Tun Razak mahu mencari penyelesaian berhubung arahan MT tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, tiada apa yang hendak ditakutkan dengan EGM kerana ia tidak semestinya membincangkan mengenai peralihan kuasa daripada presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak.

"Cadangan mengadakan EGM ini adalah keputusan dua pertiga AJK dan bukannya keputusan ketua bahagian seorang," katanya lagi.

Sementara Umno bahagian Pasir Mas akan mendapatkan kata putus ketua bahagian Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman mengenai EGM bahagian itu yang dijadualkan Sabtu ini.

Naib ketua bahagian tersebut Che Johan Che Pa berkata, keputusan MT tersebut menyebabkan bahagian Pasir Mas berada dalam keadaan yang sukar.

Hak akar umbi

"Kita menghormati keputusan MT tetapi pada sama kita mahu hak ahli akar umbi juga dihormati dengan membenarkan mereka melakukan apa sahaja yang sesuai sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

"Mengadakan EGM adalah hak bahagian dan ia tidak terkeluar dan melanggar perlembagaan Umno.

"Bagilah sedikit kebebasan kepada bahagian untuk membincangkan masalah parti," tambahnya.

Sementara itu, seorang AJK bahagian Muar, Hassan Sulaiman Ninam Shah berkata, keputusan MT bermakna jawatankuasa parti akan menolak permohonan bahagian itu untuk mengadakan EGM.

"Abdullah telah membuat keputusan lebih awal dari mesyuarat pengurusan parti. (Oleh itu) adakah pengurusan parti berani untuk membenarkan Muar mengadakan EGM?" katanya.

Hassan berkata, jika Abdullah mengatakan EGM tidak perlu, maka "eloklah dibuang sahaja buku perlembagaan parti."

"Biar presiden yang tentukan dan ahli-ahli pula tiada panduan. Adakah Umno ini hak dia seorang?" kata Hassan.