Pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti Gerakan - parti komponen Barisan Nasional yang kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu - akan diadakan di ibu negara pada 11 Oktober depan.

Tarikh tersebut seminggu lebih awal daripada pemilihan sebuah lagi parti komponen BN - MCA - yang turut mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Kerajaan pimpinan Gerakan di Pulau Pinang jatuh ke tangah barisan pembangkang, Pakatan Rakyat.

Semua calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen dari Gerakan dan MCA kalah di tangan pembangkang.

BN hanya mampu mengekalkan 11 daripada 40 kerusi DUN dan dua daripada 13 kerusi parlimen - semuanya oleh calon Umno.

Pada keseluruhannya, Gerakan hanya menang dua kerusi parlimen manakala MCA pula hanya mampu mempertahankan 15 kerusi parlimen.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, setiausaha agung Gerakan, Datuk Seri Chia Kwang Chye berkata, pemilihan di peringkat cawangan akan diadakan sebelum 16 Jun depan.

Manakala pemilihan di peringkat bahagian mesti diselesaikan sebeum 28 Julai depan.

Chia yang juga pengerusi jawatankuasa penyelia pemilihan parti itu berkata, pemilihan di peringkat negeri-negeri pula perlu diselesaikan sebelum 19 September.

Katanya, pemilihan bagi negeri Perak akan diadakan pada 17 Ogos, Kedah (22 Ogos), Perlis (22 Ogos), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (23 Ogos), Pulau Pinang (24 Ogos), Kelantan (5 september), Sabah (6 September), Selangor (7 September), Pahang (7 September), Terengganu (12 September), Negeri Sembilan (13 September), Melaka (13 September) dan Johor (14 September).

Pergerakan Pemuda dan Wanita juga akan mengadakan pemilihan masing-masing di peringkat cawangan dan bahagian.

Sementara itu, kata Chia, mesyuarat jawatankuasa kerja pusat Gerakan pada 26 April lalu telah meluluskan penubuhan 100 cawangan dan 28 lagi untuk didaftarkan.

Oleh itu, katanya, sehingga tahun ini, terdapat 1,600 cawangan dan 165 bahagian yang layak mengadakan pemilihan yang diadakan setiap dua tahun.