BERITA Malaysiakini

Anwar iringi Azizah di Dewan Rakyat

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Selepas tidak menjejakkan kaki selama 10 tahun sejak dipecat, mantan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini muncul di Dewan Rakyat - bukan sebagai ahli parlimen.

Penasihat PKR, yang diuar-uarkan akan bertanding dalam satu pilihanraya kecil agar dipilih sebagai anggota dewan itu, hadir sebagai pasangan ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau menghadiri acara perasmian sidang ke-12 parlimen yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong dan juga majlis santapan baginda bersama ahli-ahli parlimen dan pasangan masing-masing.

12th malaysia parliament official king opening 290408 01 Dr Wan Azizah makan bersama Tuanku Mizan Zainal Abidin, manakala suaminya makan bersama Raja Permasuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Ditanya kemungkinan beliau menjadi anggota parlimen, Anwar dilaporkan berkata:

"Oleh kerana saya sudahpun ada di sini, saya tidak lagi akan menoleh ke belakang.

"Saya fikir tak banyak masalah tapi kita bincang dululah dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat. Terlalu awal sekarang."

Pasangan Anwar dan Dr Wan Azizah sampai di bangunan Parlimen kira-kira 15 minit sebelum majlis pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam perjalanannya ke galeri awam yang diduduki oleh pasangan-pasangan 222 ahli parlimen, Anwar sempat menegur bekas rakan-rakan politiknya dalam kabinet.

"Sepuluh tahun suatu tempoh yang panjang, saya rasa gembira kembali mengiringi ketua pembangkang, ia membuatkan saya lebih rendah diri dan menghormati tokoh pembangkang itu," katanya.