Walaupun semakin ramai calon wanita bertanding dalam pilihanraya umum lalu tetapi pemilihan mereka masih lagi kabur dan tidak telus, kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pemilihan mereka di peringkat parti-parti yang bertanding ditentukan oleh beberapa pemimpin atasan (gatekeeper).

" Gatekeepers ini menyebabkan kita tidak dapat pastikan apakah kriteria yang sebenar-benarnya dipakai dalam pemilihan ini," kata Dr Rashila Ramli, seorang pensyarah fakulti sains sosial dan kemanusiaan.

Pilihanraya 8 Mac lalu menyaksikan penyertaan tertinggi wanita dalam sejarah pilihanraya Malaysia - 87 calon di peringkat Dewan Undangan Negeri dan 43 lagi di peringkat parlimen.

Seramai 24 calon wanita menang di peringkat parlimen kali ini atau 10.8 peratus berbanding hanya 21 orang (10.5 peratus) pada 2004 dan 20 orang (10.4 peratus) pada 1999.

Dr Rashila berkata demikian dalam seminar analisis pilihanraya Malaysia anjuran fakulti tersebut hari ini.

Menurut beliau lagi, pengundi wanita mendapat sumber maklumat politik melalui bahan-bahan kempen dan internet untuk membuat keputusan pengundian.

"Nampaknya, wanita lebih banyak memanfaatkan internet (sebagai sumber maklumat pilihan raya) berbanding kaum lelaki," katanya.

Beliau menjelaskan, pengundi wanita lebih berminat terhadap isu-isu alam sekitar, hak asasi manusia dan isu ekonomi.

"Sekarang ini lebih banyak wanita terlibat dengan badan bukan kerajaan (NGO), mungkin atas sebab inilah (pengundi) wanita lebih berminat terhadap isu-isu sebegini," tambahnya.

Maklumat ini diperolehi melalui data tinjauan kumpulan penyelidikan universiti itu yang diketuainya sewaktu tempoh berkempen baru-baru ini antara 24 Februari hingga 8 Mac.

Katanya, pilihanraya kali ini juga menunjukkan trend calon wanita lawan wanita di 13 kawasan dan ia "tidak menguntungkan" wanita sendiri.

Ditanya tentang kemungkinan isu-isu wanita lebih diketengahkan di parlimen apabila ketua pembangkangnya Dr Wan Azizah Wan Ismail juga seorang wanita, Dr Rashila berkata pemimpin wanita tetap akan mengutamakan isu nasional.