Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Komponen BN diarah henti bertelagah
Diterbitkan:  Apr 29, 2008 11:50 PM
Dikemaskini: 6:50 PM

Semua parti komponen Barisan Nasional di setiap peringkat diarahkan supaya berhenti bertelagah dan saling tuduh-menuduh.

Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, sekretariat BN akan mengeluarkan surat edaran kepada semua anggota BN mengenai perkara ini seperti yang dipersetujui mesyuarat Dewan Tertinggi parti itu, malam ini.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut, beliau berkata tindakan disiplin akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar, tetapi tidak menjelaskan bentuk tindakan berkenaan.

"Ini arahan bukan nasihat. Kita keluarkan arahan, maka arahan itu perlu dipatuhi. Kalau kita tak keluarkan arahan, itu soal lain," katanya.

Menurut laporan Bernama , beliau menegaskan demikian apabila ditanya mengenai soal perpaduan dalam BN berikutan pelbagai pertelagahan terbuka di kalangan komponen BN - yang terbaru antara presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu dengan bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Samy Vellu dalam kenyataannya hari ini meminta Dr Mohamad Khir agar berhenti membuat tuduhan tidak berasas berhubung kekalahan BN di Selangor dalam pilihanraya umum lalu, antaranya, yang melibatkan isu kuil di Kampung Rimba Jaya dekat Shah Alam yang dirobohkan pertengahan Oktober lalu.

Abdullah berkata penting disiplin parti dipelihara kerana setiap parti ada disiplinnya.

Tindakan disiplin

"Tindakan disiplin akan diambil jika membantah (arahan). Mana ada parti yang tiada disiplin. Parti tak ada disiplin susahlah jadi," katanya apabila ditanya kemungkinan arahan menghentikan pertelagahan itu akan dianggap sebagai menyekat kebebasan bersuara di kalangan komponen BN.

Abdullah berkata dengan persetujuan yang dicapai ini, parti-parti komponen dan pemimpin BN dapat memahami pentingnya mereka tidak bertelagah atau tuduh-menuduh antara satu sama lain.

Selepas selesai pilihanraya umum 8 Mac lalu yang menyaksikan BN kehilangan lima negeri kepada Pakatan Rakyat, pelbagai pemimpin parti itu di peringkat atasan hingga akar umbi, mengeluarkan pelbagai pendapat, kebanyakannya mengenai punca kekalahan besarnya sehingga ia dilihat ramai sebagai kurangnya perpaduan dalam BN dan wujudnya pertelagahan dan tuduh-menuduh secara terbuka.

Sementara itu, Abdullah juga berkata, semua wakil rakyat BN setia kepada parti dan tiada bukti mereka akan menyertai Pakatan Rakyat - seperti digembar-gemburkan oleh beberapa pemimpin pembangkang, khususnya penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, jaminan tersebut disuarakan oleh semua ketua parti komponen yang menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam ini.

"Semua taat setia kepada BN dan tiada bukti (mereka akan) lompat (menyertai) parti pembangkang," katanya sambil menambah, BN bagaimanapun, akan terus memantau perkembangan semua wakil rakyat BN.

Mengenai kenyataan Anwar bahawa wujud rundingan antara PKR dengan beberapa wakil rakyat BN supaya mereka menyertai Pakatan, Abdullah berkata perkara itu tidak benar.

"Itu dakwaan dia. Dia nak dakwa apa, dia dakwalah," kata perdana menteri.

Anjur seminar

Abdullah berkata semua pemimpin parti komponen juga sepakat bahawa wakil rakyat BN yang dipilih perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan lebih besar dari rakyat berbanding sokongan yang diterima pada pilihanraya umum lalu.

Katanya, Dewan Tertinggi juga memutuskan supaya wakil rakyat BN, terutama di negeri-negeri yang dikuasai parti lawan, mewakili kepentingan semua kaum.

"Kepentingan parti bukan hanya khas untuk parti, tetapi kepentingan parti dalam erti kata perjuangan untuk rakyat," katanya sambil memberi contoh wakil rakyat Umno yang mewakili BN di Pulau Pinang yang kini dikuasai Pakatan Rakyat.

Abdullah berkata dalam konteks itu mesyuarat parti komponen BN akan dipertingkatkan bagi memudahkan ia mengenal pasti dan mengambil tindakan segera terhadap masalah-masalah berbangkit.

"Mesyuarat hari ini juga memberi keputusan supaya kerajaan memberikan perhatian kepada usaha melaksanakan segala janji-janji yang terkandung dalam manifesto BN dalam pilihan raya umum lalu," katanya.

Pengerusi BN berkata beliau telah memaklumkan kepada pemimpin parti komponen bahawa perkara itu telah diberi perhatian dalam jawatankuasa yang membuat kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Menurutnya, BN juga akan mengadakan seminar untuk mengatur langkah-langkah BN di masa hadapan yang akan mengambil kira perubahan yang berlaku pada masa kini termasuk memahami aspirasi generasi muda yang mahukan perubahan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS