BERITA

Sesi tergendala, tiga soalan dijawab

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Apr 2008, 1:54 tengahari

Sesi soalan sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini tergendala hampir setengah sejam apabila beberapa wakil rakyat sering mempersoalkan peraturan mesyuarat.

Gangguan ini menyebabkan soalan pertama dapat dikemukakan selepas 20 minit sesi itu bermula untuk dijawab perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beberapa anggota parlimen termasuk Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) dan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) terus membangkitkan lagi soal peraturan mesyuarat sehingga mendorong yang dipertua dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia berulang kali meminta mereka duduk untuk meneruskan sesi soal jawab.

Setelah hampir sejam kemudian, barulah soalan kedua dapat diteruskan.

Keseluruhannya hanya tiga soalan dapat dijawab setelah tempoh sesi soal-jawab selama satu setengah jam berakhir pada pukul 11.30 pagi.

Persidangan bermula dengan pengumuman pelantikan Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) sebagai ketua pembangkang.

Sesi pertama sidang pertama penggal ke-12 disiarkan secara langsung di RTM 1, satu langkah baru selepas pembangkang meraih jumlah kerusi terbanyak dalam sejarah pilihanraya umum.

Ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Dr Wan Azizah mendesak kerajaan membebaskan tanpa syarat tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau membicarakan mereka dalam mahkamah terbuka.

Beliau berkata sejak digubal pada 1960, ISA telah menjadi alat paling berkuasa bagi pihak eksekutif untuk menahan seseorang individu atau kumpulan tanpa dibicarakan di mahkamah.

"Akta ini telah menyekat kebebasan individu, meningkatkan kuasa eksekutif, melemahkan kuasa mahkamah daripada menyemak sebarang ketidakadilan dan menjadi ancaman terhadap hak asasi manusia.

"Sejak ISA diperkenalkan, sejumlah 10,711 orang menjadi tahanan di bawah akta itu," katanya.

Terdapat 70 tahanan lagi yang masih meringkuk di kem tahanan Kamunting di Taiping.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) berkata Malaysia tidak perlu lagi mempunyai akta seperti itu sekiranya kerajaan benar-benar mengamalkan sistem demokrasi.

"ISA diwujudkan semasa negara menghadapi ancaman darurat tetapi sehingga kini selepas negara merdeka, akta itu masih diteruskan... ini tidak perlu," katanya.

Sementara Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) sebaliknya berkata ISA perlu diteruskan bagi menjamin keselamatan dan kestabilan negara tidak tergugat, terutamanya memandangkan Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk.

Sidang dewan ditangguh sehingga Isnin.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.