BERITA Malaysiakini

Najib jawab isu Altantuya di blog Petra

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Datuk Seri Mohd Najib Razak menafikan dakwaan beliau terlibat dengan kes pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu, yang menarik minat ramai dan kini dalam proses perbicaraan.

altantuya shaariibuu murdered mongolian model Dalam kenyataan kepada sebuah blog, timbalan perdana menteri berkata beliau tidak pernah mengenali wanita Mongolia itu dan tidak pernah bertemu dengan mangsa terbabit.

"Dakwaan seorang saksi dalam perbicaraan kes Altantuya bahawa konon-kononnya si mati (Altantuya) pernah makan bersama dengan Razak Baginda dan individu bernama 'Najib Razak' tidak pernah disahkan, malah kredibiliti saksi itu juga tidak pernah diteliti.

"Dakwaan kononnya ada gambar si mati dengan (Abdul) Razak (Abdullah Baginda) dan timbalan perdana menteri juga tidak pernah dibuktikan oleh mana-mana pihak melainkan gambar rekaan yang terbukti palsu," kata Najib, melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh setiausaha akhbarnya Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

umno selangor najib muhyiddin event anti pak lah banners 160408 05 Kenyataan akhbar itu diterbitkan Malaysia Today semalam bagi menjawab artikel pengendalinya Raja Petra Kamaruddin bertajuk " Let's send Altantuya's murderers to hell " pada 25 April.

Tengku Sariffuddin juga menafikan beberapa dakwaan dalam artikel tersebut, antaranya:

bullet button Najib dan isterinya Rosmah Mansor ada kaitan dengan pembunuhan Altantuya,

bullet button timbalan perdana menteri pernah menyokong permohonan visa wanita itu, dan

bullet button rekod imigresen wanita itu telah sengaja dihapuskan.

"Semua kenyataan ini merupakan kenyataan pandang dengar (hearsay) yang tidak pernah dibuktikan, tetapi pihak tuan sewenang-wenangnya menyiarkan kenyataan seperti itu seolah-olah ia (adalah) fakta," katanya.

Tengku Sariffuddin juga menafikan kes pembunuhan Altantuya bersangkut-paut dengan pembelian kapal selam oleh Kementerian Pertahanan yang diketuai oleh Najib.

"(Dakwaan itu) adalah tidak berasas sama sekali dan dakwaan itu dibuat semata-mata untuk menjadikan dongengan yang timbul sekitar kes ini lebih menarik," katanya.

"Datuk Seri Najib sekian lama menahan dan mengelak daripada membuat sebarang kenyataan tentang kes ini kerana ia melibatkan tuduhan terhadap individu-individu yang beliau kenali.

"Sebarang kenyataan daripada beliau sudah tentu mengundang pelbagai tafsiran atau dianggap sebagai mencampuri urusan mahkamah, memandangkan perbicaraan kes itu sedang berlangsung," kata Tengku Sariffuddin lagi.

Beliau juga merujuk kes pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disabitkan bersalah apabila dituduh cuba mengganggu siasatan polis dalam isu amalan seksnya.

"Suka diingatkan di sini bahawa pernah berlaku dalam sejarah negara ini, seorang bekas timbalan perdana menteri didapati bersalah atas tuduhan menyalahguna kuasa apabila beliau cuba menutup penyiasatan salah laku seksual terhadap dirinya," kenyataan Tengku Sariffuddin di blog itu dipetik.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan amaran kepada semua pihak:

altantuya razak baginda crime scene 180707 media "Akhir sekali, ingin saya tegaskan di sini, bahawa, memandangkan tuduhan-tuduhan liar yang dilemparkan terhadap timbalan perdana menteri itu adalah sangat serius dan membawa kesan negatif terhadap maruah dan imejnya, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab."

Menjawab kenyataan ini pada hari yang sama, Raja Petra berkata beliau berasa gembira dan dihormati apabila setiausaha akhbar kepada timbalan perdana menteri sendiri sanggup menulis kepada Malaysia Today .

"Seperti saya nyatakan beberapa kali sebelum ini, satu-satunya jalan menangani media independen ialah berdepan dengannya, bukan mengabaikannya, kerana pengabaian anda boleh memusnahkan anda sendiri," katanya, memulakan reaksi segera dalam artikelnya " My reply to Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad ".

Selain mempertikaikan kewibawaan sistem kehakiman negara, khususnya sewaktu perbicaraan Anwar, penulis blog terkenal itu juga menyebut beberapa insiden layanan buruk polis yang didakwanya dialaminya dan juga isterinya.

Artikel awal Raja Petra minggu lepas dimulakan dengan isu menuntut keadilan buat Altantuya sewaktu kunjungan bapa mangsa bunuh itu Shaariibuu Setev ke Kuala Lumpur bagi mendesak perbicaraan kes bunuh anaknya dijalankan dengan adil.

Selain Abdul Razak, seorang penganalisis politik yang dikaitkan dengan Najib, dua anggota polis pasukan berprofil tinggi Unit Tindakan Khas (UTK) di Bukit Aman turut dituduh dalam kes tersebut mulai Jun tahun lepas.

Cif inspektor Azilah Hadri, dan koperal Sirul Azhar Umar didakwa membunuh Altantuya, di lokasi mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 19-20 Oktober 2006.

Abdul Razak, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar di Wilayah Persekutuan sehari sebelum pembunuhan itu.

Pembunuhan Altantuya mula menggegarkan negara apabila penganalisis politik ini dan beberapa anggota polis, termasuk Azilah dan Sirul Azhar, ditahan polis pada 7 November 2006.