Pemuda Umno harus berperanan sebagai pendesak bagi menyalurkan hasrat dan permintaan rakyat kepada kerajaan, kata exco pergerakan itu Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

"Ahli-ahli kita malah rakyat juga melihat Pemuda sebagai saluran untuk sampaikan maklumat kepada pucuk pimpinan. Kadang-kadang bila pemimpin buat sebarang keputusan, ia mendapat reaksi dari akar umbi.

"Jadi, peranan Pemuda adalah untuk sampaikan mesej dan sekiranya benar-benar tidak setuju maka biarlah Pemuda yang mainkan peranan itu," katanya hari ini, lapor Bernama , dalam dialog anjuran Pemuda Umno bahagian Tenggara di Kulai.

"Peranan seperti ini seringkali dilakukan dulu, walaupun Pemuda tidak sependapat dengan kepimpinan tetapi kerana sebenarnya ia mencerminkan permintaan ramai, akhirnya pemimpin terima juga pandangan dan pendirian Pemuda.

"Jadi, ini peranan pendesak yang harus dimainkan Pemuda."

Tambahnya, Pemuda bawah kepimpinan ketuanya sekarang Datuk Seri Hishammuddin Hussein sejak 10 tahun lalu dilihat memainkan peranan sebagai "pendesak yang berhemah".

"Hishammuddin mahu Pemuda dilihat sebagai kumpulan yang bersifat intelektual dan berhemah dalam hujah dan dalam masa yang sama berpegang teguh kepada perjuangan Umno," beliau dipetik sebagai berkata.