BERITA

Soalan DAP ditolak gara-gara OSA

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Mei 2008, 1:10 tengahari

Akta Rahsia Rasmi (OSA) penghalang utama memeriksa perbelanjaan selenggara pesawat pejuang apabila soalan seorang ahli parlimen DAP Liew Chin Tong tidak boleh dijawab.

Soalan itu, untuk jawapan bertulis, ditolak oleh Dewan Rakyat atas alasan maklumat tersebut "rahsia rasmi negara", katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Liew berkata, penolakan itu dimaklumkan oleh setiausaha Dewan Rakyat, Roosme Hamzah, dengan merujuk Peraturan Tetap 23(1)(f) iaitu dilarang mengemukakan soalan bagi mendapatkan apa juga maklumat dianggap yang rahsia.

Liew bagaimanapun tidak menyebut tarikh beliau dimaklumkan tentang perkara itu.

najib arms procurement defense 290307 sukhoi submarine Soalannya berbunyi: Minta menteri pertahanan memberitahu kos penyelenggaraan setiap model pesawat utama RMAF seperti MIG-29N, SU-80MKM, Hawk 200, F/A-18 setiap tahun sejak 2004 dan jumlah penerbangan purata setiap tahun setiap model pesawat sejak 2004.

"Saya tidak berpuas hati dengan klasifikasi yang diberikan atas soalan tersebut yang diletakkan bawah rahsia rasmi," katanya, yang juga ahli strategi pilihanraya kepada setiausaha agung DAP Lim Guan Eng.

"Saya melihat bahawa tidak alasan yang sepatutnya diberikan mahupun satu rahsia sekiranya persoalan (saya) itu merujuk kepada maklumat yang berkaitan dengan kewangan."

Dengan larangan ini, tambahnya, Kementerian Pertahanan tidak telus berkaitan barangan dan perkhidmatan bawah kementeriannya.

"Penting untuk dinyatakan di sini bahawa terdapat keperluan dalam kalangan ahli parlimen untuk meneropong perbelanjaan kementerian tersebut."

Sementara itu, Bernama melaporkan, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) mencadangkan agar OSA digantikan dengan Akta Maklumat bagi membuktikan keikhlasan kerajaan dalam memberi kebebasan kepada media dan orang ramai untuk mendapatkan maklumat.

nuj journalist forum 050907 norila daud Presiden kesatuan itu Norila Md Daud dilaporkan berkata Akta Maklumat akan menjadi bukti wujudnya sebuah pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab seperti yang diimpikan selama ini.

"Pemilik media juga perlu memainkan peranan mereka dengan memberi ruang kepada wartawan menunaikan tanggungjawab mereka secara profesional, tanpa rasa takut dan pilih kasih," beliau dipetik sebagai berkata dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga dilaporkan mendakwa kebanyakan media arus perdana dilarang menyiarkan atau mengetengahkan isu tertentu yang ada kaitan dengan kepentingan awam atas arahan "pihak atasan".

"Pada era digital ini, rakyat Malaysia sudah matang dan tidak mudah tertipu oleh laporan berita yang berat sebelah.

"Oleh itu, pemilik media arus perdana perlu memahami kehendak pembaca yang sudah matang atau menghadapi risiko bahan penerbitan mereka diketepikan," kata Norila lagi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.