Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Transparency International (TI) menggesa kerajaan mengambil tindakan terhadap penyelewengan "ikan besar" bagi membaiki indeks tanggapan rasuah (CPI) negara ini yang kian mencemarkan imej Malaysia.

TI Malaysia (TI-M) juga menggesa kerajaan melaksanakan sistem tatacara pengagihan kontrak dan tender bagi projek-projek besar secara telus juga boleh membaiki kedudukan negara dalam indeks ini.

"Menganugerahkan projek pembinaan prasarana besar kepada kumpulan pernigaan terpilih berdasarkan kontrak yang dirundingkan, tanpa pentenderan yang berdaya saing dan terbuka dan memberikan lesen khas kepada kumpulan istimewa tidak membantu untuk membaiki tanggapan antarabangsa dan dalam negeri usaha kerajaan ke arah ketelusan dan memerangi rasuah," kata presiden TI-M, Tan Sri Ramon Navaratnam.

"Kejadian rasuah, salah tadbir dan salah urus dana awam sering dibangkitkan dalam laporan tahunan Ketua Audit Negara.

"Banyak projek raksasa disalahurus dan akhirnya diselamatkan oleh kerajaan dengan menggunakan dana awam dan pendapatan pembayar cukai, yang seharusnya disalurkan lebih berfaedah untuk membasmi kemiskinan."

CPI bagi Malaysia tahun 2007 meningkat sedikit kepada tangga ke-44 berbanding kedudukan 43 tahun sebelumnya - sekali gus menamatkan kemerosotan selama lima tahun berturut-turut sejak 2002 apabila ia berada di tangga ke-33.

Malaysia juga meningkat sedikit markah yang diperolehinya, 5.1 daripada 5.0.

Bagaimanapun CPI 2007 dijalankan terhadap 180 negara berbanding tahun sebelumnya yang melibatkan 163 negara.

Navaratnam mengalu-alukan cadangan menubuhkan suruhanjaya pencegahan rasuah Malaysia dalam rangka mereformasi Badan Pencegah Rasuah (BPR) seperti diumumkan perdana menteri baru-baru ini.

"TI-M berharap penubuhan suruhjaya pencegahan rasuah Malaysia dan lembaga penasihat yang bebas dapat diwujudkan secepat kerana langkah ini dapat meningkatkan dengan banyak kedudukan CPI bagi Malaysia - jika suruhanjaya dan lembaga ini benar-benar bebas dan berkesan mengawal gejala rasuah di Malaysia," tambahnya dalam satu kenyataan semalam.

Langkah-langkah lain yang disarankan oleh TI-M untuk membaiki kedudukan CPI termasuklah pelantikan hakim hendaklah dibuat oleh suruhanjaya bebas, melindungi pemberi maklumat rasuah dan menggubal undang-undang kebebasan maklumat.

ADS