NGO kecewa dengan Ka Chuan
Gabungan Urus Tadbir Baik (CGG) kecewa dengan kenyataan menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Ong Ka Chuan bahawa kerajaan tidak merancang untuk mengadakan pilihanraya bagi memilih ahli pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kenyataan tersebut bercanggah dengan kenyataan beliau sendiri yang dilaporkan sebelum ini, apabila berkata kementeriannya bersedia dan bersikap terbuka untuk mengadakan pemilihan di peringkat PBT," kata CGG dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sistem yang diamalkan sekarang dalam pelantikan ahli PBT telah mengakibatkan berlakunya salah pengurusan dan keputusan dibuat sembarangan.
Di samping itu, katanya, PBT juga pada amnya tidak mengumumkan akaun mereka walaupun berulangkali didesak oleh pembayar cukai supaya berbuat demikian, dan ini mencerminkan ketidaktelusannya.
"Satu lagi kritikan terhadap pelantikan ahli PBT sekarang ialah ianya berdasarkan kepada kaitan mereka dengan parti politik," katanya.
Ekoran itu, kata CGG, berlakulah pemilihan tiga ahli PBT dari satu keluarga kerana ketiga-tiganya mempunyai jawatan dalam parti.
Di samping itu, katanya, hanya parti politik, dan bukannya menteri besar, yang boleh mengambil tindakan disiplin terhadap ahli PBT yang menyeleweng.
Jadi keutamaan
"Sistem ini meletakkan kepentingan rakyat di tempat kedua seleaps kepentingan parti-parti politik," tambah kenyataan itu lagi.
Oleh, tegas CGG, dalam melangkah ke arah pendemokrasian politik Malaysia, maka adalah penting rakyat diberi hak memilih calon-calon mereka di peringkat dewan undangan negeri, kerajaan tempatan dan kerajaan pusat.
"Pilihanraya untuk memilih ahli PBT adalah satu bentuk menginstitusikan akauntabiliti di peringkat kerajaan tempatan," kata CGG sambil menambah, ahli PBT mesti bertanggungjawab kepada pembayar cukai atas segala dasar, keputusan dan wang dibelanjakan.
Menurutnya, ini akan memastikan ahli PBT berkhidmat untuk kepentingan rakyat dan melalui pemilihan ahli PBT, prinsip-prinsip ketelusan dan akauntabiliti dapat dipertahankan.
"Demi kepentingan urustadbir yang baik dan demi memperkukuhkan demokrasi, pilihanraya kerajaan tempatan untuk kesemua 13 negeri dan di Wilayah Persekutuan (WP), perlu dijadi keutamaan," katanya.
Sehubungan itu, CGG menggesa supaya pilihanraya kerajaan tempatan dipulihkan semula secepat mungkin dan tidak lewat dari tahun 2011.

