Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Mat mencadangkan agar Raja-raja Melayu menjelaskan isu hak ketuanan Melayu setelah ada pihak sudah berani mempertikaikannya.

"Raja-raja Melayu perlu memperbetulkan apa-apa kesilapan yang menyebabkan bangsa Melayu dipertikai sekarang," kata Nik Aziz dalam ceramah mingguannya di Kota Bharu hari ini.

Menurut laporan Bernama, Nik Aziz berkata, sekiranya sultan mendiamkan diri tanpa bertindak dalam menyatakan hak Melayu di negara ini, selagi itu ianya akan dipermainkan oleh pihak lain yang cuba mengambil kesempatan untuk sesuatu matlamat.

Kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh baru-baru ini mempertikaikan kuasa Sultan Perak dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat Melayu yang menganggap ianya mencabar kewibawaan orang Melayu.

Pada satu acara lain, Nik Aziz mencadangkan agar rakyat menjadikan sarang burung walit sebagai makanan tambahan bagi mengekalkan kesihatan diri kerana ia mempunyai khasiat yang tinggi.

"Saya sendiri makan sarang burung hampir setiap pagi dan malam,"

katanya.