Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beliau sedia menghadapi sebarang tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya.

"Saya tidak akan keluarkan sebarang kenyataan kalau saya sendiri tidak sanggup menerima tindakan termasuk dari jawatankuasa pengurusan," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa tindakan Mukhriz mengulangi desakan agar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan semua jawatannya akan dibawa kepada jawatankuasa pengurusan parti.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Mukhriz menganggap kenyataan Hishammuddin itu susulan salah faham terhadap kenyataannya semalam.

Menurut Bernama , ahli parlimen Jerlun juga berkata beliau akan menghadiri mesyuarat exco Pemuda pada Jumaat ini seperti biasa kerana kali ini bukan pertama beliau berdepan dengan kritikan dari kalangan rakan-rakannya sendiri.

Mukhriz juga menafikan beliau akan keluar dari parti sekiranya perdana menteri tidak meletakkan jawatan Julai ini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa apa yang disuarakan dalam kenyataannya semalam ialah beliau mempunyai hak untuk mengubah pendirian (kekal dalam Umno) pada bila-bila masa mengikut perkembangan terkini dan beliau tidak menyatakan hanya ada satu cara iaitu keluar parti, sedangkan banyak lagi cara lain yang boleh diambil.

"Saya tidak kata menjelang Julai jika perdana menteri tidak berundur, maka saya akan keluar parti," jelas beliau.

Mukhriz berkata bulan itu merujuk mesyuarat cawangan yang akan bermula dan beliau berharap satu perubahan drastik akan berlaku sebelum mesyuarat cawangan bermula dan bukan mengambil keputusan keluar parti.