Tiada ikut jejak Mahathir di Johor
Belum ada ahli Umno di Johor yang mengikut jejak bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti awal minggu ini.
Seorang ahli jawatankuasa bahagian Umno Pengerang memberitahu, memang kedengaran berita ahli mahu keluar parti di bahagian tersebut.
"Orang riuh bercakap mereka hendak keluar Umno. Mereka bukan orang bahagian tetapi ahli cawangan sahaja.
"Tetapi saya tidak dapat mengesahkan apakah mereka akan keluar parti atau tidak," kata Abdul Kadir Basok kepada Malaysiakini hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, beliau tidak bimbang mengenai cakap-cakap itu kerana selalunya orang yang bercakap hendak keluar parti tidak akan berbuat demikian.
"Saya lebih bimbang dengan orang yang pendiam kerana mereka bertindak secara senyap dan tidak dapat dikesan," katanya.
Abdul Kadir menambah, sehingga hari ini Umno bahagian itu belum mendapat laporan bahawa ada ahlinya yang meninggalkan Umno.
Sementara itu, setiausaha bahagian Umno Pagoh, Abdul Aziz Hashim berkata, tiada ahli di bahagian itu yang keluar parti ekoran tindakan Dr Mahathir itu.
Katanya, keadaan di bahagian ini terkawal dan tidak ada ahli yang meninggalkan parti.
Ahli jawatankuasa bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh pula berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai laporan jika ada ahli parti di bahagian itu telah keluar parti.
"Saya rasa tidak ada ahli yang keluar," katanya.
Isnin lalu, Dr Mahathir mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta-merta dan menggesa ahli-ahli parti berbuat demikian sebagai satu desakan memaksa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan.

