Berita mengenai ramai ahli Umno di peringkat akar umbi di Kedah bertindak keluar parti ekoran bekas presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad tersebar luas tetapi sehingga ini tiada yang berbuat demikian secara rasmi.

Tinjauan Malaysiakini ke beberapa bahagian mendapati berita berkenaan tidak dapat disahkan oleh pemimpin bahagian masing-masing.

Ketua Pemuda Umno bahagian Kubang Pasu, Zulkifli Ahmad berkata, cakap-cakap bahawa ramai ahli parti mahu keluar tersebar luas di bahagian itu.

Bagaimanapun, katanya sehingga hari ini belum ada yang secara rasmi berbuat demikian.

"Saya diberitahu tidak ada surat yang dihantar ke pejabat Umno bahagian mengenai perkara tersebut.

"Mereka mungkin bersikap tunggu dan lihat. Hendak tengok sipaya yang keluar dahulu," katanya.

Manakala setiausaha Umno bahagian Pendang, Basiron Said pula berkata, beliau belum mendengar laporan ada ahli yang keluar parti.

Tiada pengesahan

Tetapi beliau mengaku ada ahli yang keluar parti sebelum pilihanraya umum lalu, tetapi bukan kerana Dr Mahathir.

Manakala di Merbok pula hanya beberapa orang dikatakan bertindak keluar parti tetapi tiada pengesahan rasmi mengenai perkara tersebut.

Mengikut sumber, setakat ini hanya cakap-cakap di kedai kopi sahaja.

"Isyarat tsunami sudah ada tetapi gelombangnya belum ada lagi," katanya.

Manakala di Pokok Sena pula, tersebar berita bahawa kira-kira 20 ahli Umno cawangan Seri Tanjong dilaporkan telah mengisytiharkan keluar dari Umno.

Majlis tersebut dikatakan diadakan Selasa lalu di sebuah rumah ahli cawangan tersebut.

Bagaimanapun, ketua Umno bahagian Pokok Sena, Datuk Ahmad Lebai Sudin ketika dihubungi, mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.