Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP bagi kawasan Teratai, Jenice Lee Ying Ha telah membangkitkan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mengenai penggunaan tanah seluas lima ekar di Bukit Seputih dalam kawasan DUN Teratai, Ampang, sebagai tanah perkuburan orang Islam di situ.

Menurutnya, kawasan tersebut diambil alih tanpa memberikan notis kepada penduduk setempat.

"Apa yang lebih menghampakan lagi ialah saya sebagai Adun kawasan tersebut, tidak diberitahu mengenai adanya rancangan pembangunan tersebut," katanya ketika membahaskan usul terima kasih kepada titah ucapan perasmian Sultan Selangor, semalam.

"Saya bertanya kepada pihak berkenaan sebab-sebab saya tidak diberi notis mengenai pembangunan tersebut. Jawapan yang diberikan oleh pegawai amat mengejutkan saya.

"Inilah jawapan yang saya terima - 'oleh kerana notis pemberitahuan telah dimaklumkan kepada Adun penggal lalu, justeru itu, tidak perlulah kami memaklumkannya untuk kali kedua'.

"Cuba fikirkan, kalau keputusan yang dibuat oleh mantan Adun tidak berpihak kepada kepentingan rakyat, tentunya Adun sekarang berhak untuk melakukan perubahan," katanya.

Jenice berkata, rakyat memilih kerajaan baru yang dianggotai oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya lalu kerana mereka ingin menyuarakan ketidakpercayaan dan rasa tidak puas hati terhadap keupayaan untuk menyelesaikan masalah dan projek-projek pembangunan kerajaan Barisan Nasional (BN) penggal lalu.

'Rancang tanah perkuburan'

Beliau berkata, masalah tanah perkuburan Islam Ampang tidak berlaku dalam sehari.

"Menurut hujah-hujah MPAJ, isu ini mula dibincangkan seawal tahun 2000. Masalahnya, kenapa selepas lapan tahun, saya katakan sekali lagi kepada semua YB-YB yang berada di dewan yang mulia ini, lapan tahun, masalah ini belum diselesaikan sepenuhnya.

"Kenapa pihak berkenaan enggan atau keberatan merancang terlebih dahulu? Apakah kita hendak menunggu sehingga kehabisan tapak perkuburan, barulah kita mula memikirkan jalan penyelesaian?

"Keadaan ini umpama tidak menyediakan tandas ketika membina rumah baru. Apabila kita memerlukannya, barulah pergi korek lubang tandas. Akibatnya, tandas sini tandas sana.

"Lubang tandas yang dikorek boleh menyuburkan tanah di sekitarnya, boleh menanam pokok durian berorganik. Tetapi, kalau sebidang tanah telah dijadikan tanah perkuburan, orang yang hidup langsung tidak boleh membuat apa-apa. Inilah masalah pembangunan yang tidak dirancang!" tambahnya.

Jenice berkata, sebagai Adun Teratai, beliau faham dan peka terhadap masalah kekurangan tanah perkuburan Islam.

"Tetapi kita perlu menyelesaikan masalah ini dengan kaedah yang profesional, umpamanya, berapa banyaknya keperluan tanah perkuburan di Ampang setahun, berapakah tapak perkuburan yang boleh disediakan dalam seeker tanah.

"Atas alasan-alasan seperti di atas, saya mencadangkan supaya satu penyelidikan selanjutnya dilakukan dengan teliti terhadap tanah perkuburan baru, antaranya ialah, lima ekar tanah boleh memuatkan berapa tapak perkuburan dan boleh digunakan selama berapa tahun mengikut kadar kematian setempat," tegasnya.