Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) akan melancarkan kempen mengutip tandatangan rakyat Terengganu untuk menuntut kerajaan pusat mengembalikan bayaran royalti minyak kepada kerajaan negeri tersebut.

Pengerusi Mampat, Mohd Fauzi Abu Samah yakin pihaknya mampu mendapatkan sekurang-kurangnya 100,000 tandatangan rakyat Terengganu untuk menyokong kempen tersebut.

Kempen itu akan dilancarkan di Kuala Terengganu pagi esok, katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

"Sebenarnya kita yakin boleh dapat 200,000 tandatangan, tapi buat permulaan ini, biarlah kita sasar 100,000 dulu," tegas Mohd Fauzi.

Beliau berkata, senarai tandatangan yang diperolehi itu akan diserahkan kepada kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Terengganu untuk diambil tindakan selanjutnya.

"Walaupun kerajaan Terengganu tidak ke depan bersama kami dalam kempen ini, tetapi ia sentiasa memberi sokongan dari belakang," kata Mohd Fauzi sambil menambah, ia merupakan fasa pertama daripada seluruh kempen mereka untuk menuntut kembali royalti minyak.

"Dalam fasa kedua, kita akan menganjurkan konvensyen pada 14 Jun depan untuk membincangkan isu ini. (Bekas ketua hakim negara) Tun Salleh Abbas bersetuju berucap di majlis itu.

Salleh Abbas hadir

"Kita juga menjemput (veteren Umno) Tengku Razaleigh Hamzah dan wakil kerajaan negeri dan sedang menunggu pengesahan mereka.

"Konvensyen tersebut akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman," kata Mohd Fauzi.

Menurutnya, Tun Salleh Abbas akan mengulas isi kandungan perjanjian royalti minyak antara kerajaan negeri dan Petronas yang dibuat pada tahun 1975 lalu.

Manakala Tengku Razaleigh pula, katanya, akan bercakap tentang sejarah royalti.

Tengku Razaleigh merupakan orang yang menandatangani surat cara penyerahan hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan berhubung petroleum Terengganu daripada kerajaan negeri kepada Petronas pada Mac 1975. beliau ketika itu adalah pengerusi dan ketua eksekutif Petronas.

Fauzi menjangka konvensyen tersebut akan dihadiri oleh 200 peserta dari pelbagai golongan. Setiap penyertaan dikenakan bayaran RM50.

Kempen fasa ketiga akan diumumkan kemudian, kata Mohd Fauzi.

Misteri kehilangan royalti

Semalam, menteri besar Datuk Ahmad Said berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Parlimen, semalam berhubung isu tersebut.

Ahmad berkata rundingan lanjut dijangka diadakan 9 Jun ini sempena lawatan kerja Abdullah ke negeri itu atau pada 14 Jun semasa beliau melawat projek jelapang padi Terengganu di Setiu.

Mampat adalah antara kumpulan penting yang berkempen menyokong pihak istana danAhmad Said - yang merupakan wakil rakyat Kijal - ketika berdepan dengan krisis perebutan jawatan menteri besar selepas pilihanraya umum lalu.

Sebulan selepas dilantik menteri besar, Ahmad menggesa kerajaan pusat supaya menyerahkan kembali royalti minyak - sebanyak 5 peratus - kepada kerajaan negeri Terengganu.

Wang ini ditadbir kerajaan pusat mulai 2000 dengan nama Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau lebih popular disebut "wang ehsan".

Mohd Fauzi semalam membuat laporan polis berikutan misteri "kehilangan" RM3 bilion wang royalti petroleum Terengganu.