Bahagian-bahagian Umno di Kedah, Selangor, Perlis dan Perak sehingga ini belum menerima laporan mengenai ada ahli yang bertindak keluar parti mengikut jejak langkah mantan presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli jawatankuasa (AJK) bahagian Padang Terap, Ahmad Kamel Abdul Munim ketika dihubungi berkata, masalah ahli keluar parti tidak berlaku di bahagian tersebut kerana rata-rata mereka adalah penyokong perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Hanya beberapa orang sahaja yang diketahui menyokong Dr Mahathir tetapi mereka tidak menonjolkan diri.

"Malah penyokong mantan perdana menteri sendiri tidak keluar parti, lagipun itu tidak besar atau tidak panas di Padang Terap," katanya.

Sementara itu, AJK Umno bahagian Gombak, Abdul Rahim Kamaruddin pula berkata, tidak timbul langsung ahli Umno keluar parti mengikut jejak Dr Mahathir.

Katanya, setakat ini belum ada laporan bahawa ahli Umno di Gombak yang keluar parti malah berita mengenai perkara itu hanya heboh di media massa sahaja.

Manakala ketua Umno bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, isu Dr Mahathir keluar parti tidak berlaku di Perlis.

‘Tidak sesuai keluar'

"Kalau ada yang keluar ialah orang PKR atau PAS yang keluar parti tetapi mereka mendakwa sebagai orang Umno.

"Sering juga berlaku mereka hanya keluar seketika tetapi tidak lama kemudian masuk semula," katanya lagi.

Pemangku Ketua Pemuda Umno bahagian Ipoh Barat, Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak mendengar sebarang berita mengenai ahli yang keluar parti.

Bagaimanapun, ada ahli pemuda yang meminta pandangan untuk keluar dari Umno.

Beliau berkata, keputusan untuk keluar Umno tidak sesuai pada masa sekarang.

Tetapi, Ahmad Faizal telah menasihatkan mereka supaya tidak berbuat demikian kerana mahu membuat perubahan dari dalam.

"Apa yang tidak puas hati perlu disuarakan kepada cawangan sebelum dibawa ke peringkat bahagian," katanya lagi.