Putera Umno merayu kepada exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir supaya menghentikan segala desakan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur.

abdul azeez abdul rahim putera umno chief Pengerusi Putera Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata ahli Parlimen Jerlun itu seharusnya memberikan tumpuan sepenuhnya sebagai wakil rakyat, selain membantu memulihkan keadaan dalam parti.

"Ini bukan kali pertama Mukhriz bagi kenyataan (sedemikian). Jadi kita (Putera) merayu beliau menghentikannya kerana banyak lagi yang perlu kita (Umno) lakukan," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas mempengerusikan majlis mesyuarat Putera Umno di ibunegara semalam, yang antara lain membincangkan mengenai hala tujunya, demikian menurut laporan Bernama.

Abdul Azeez berkata ahli Umno perlu terus bergerak ke hadapan dan menerima kenyataan mengenai kemenangan tipis parti itu dalam pilihanraya umum pada 8 Mac.

"Kita tak perlu nak tuding jari siapa yang salah terutamanya (terhadap) presiden. Tidak ada gunanya mengkritik. Apa yang penting kita pandang ke hadapan dan teruskan apa yang diagendakan," katanya.

Menyentuh 'Skim Peluang Kedua Putera Umno' yang memberikan peluang semula kepada golongan belia tercicir dan miskin mendapat pendidikan sempurna, beliau berkata, Putera Umno kini telah memeterai perjanjian dengan 44 kolej untuk menempatkan para belia itu.

Malah, katanya, setakat ini 1,000 daripada 5,000 belia yang telah berjaya dilahirkan dari program ini, mendapat pekerjaan di syarikat berkaitan kerajaan dan juga di beberapa syarikat besar.