BERITA

S'gor bantu keluarga 16 tahanan ISA

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Mei 2008, 1:40 tengahari

Selangor akan membantu keluarga 16 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kini terkurung di kem Kamunting, Perak.

Menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bantuan tersebut, termasuk kewangan, selepas kunjungan Gerakan Mansuhkan ISA (ISA) dan keluarga tahanan di Dewan Undangan Negeri tengah hari tadi.

Bantuan tersebut termasuklah menampung kos berulang-alik melawat tahanan, biasiswa pendidikan kepada anak-anak dan mencari peluang pekerjaan kepada anggota keluarga tahanan.

Khalid berkata langkah GMI sejajar dengan pendirian kerajaan negeri untuk memansuhkan ISA dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Pengerusi gerakan itu Syed Ibrahim Syed Noh berkata terdapat enam tahanan yang dikurung sejak 2002.

Katanya, enam tahun bukan tempoh yang pendek dan sebagai ketua keluarga, mereka telah hilang pekerjaan dan anak-anak turut menjadi mangsa akta tersebut.

"Terdapat dua tahanan yang dituntut cerai oleh isteri masing-masing angkara tempoh tahanan yang panjang," tambahnya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.