Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Larangan jual minyak Jumaat ini
Diterbitkan:  May 26, 2008 10:48 PM
Dikemaskini: 3:17 PM

Semua stesen minyak di sempadan negara dilarang menjual petrol dan diesel kepada kenderaan asing berkuatkuasa Jumaat ini.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata larangan itu membabitkan stesen minyak dalam jarak 30 hingga 50km di kawasan sempadan negara.

shahrir samad interview 250907 smiles Larangan itu membabitkan Perlis, Kedah, utara Perak, Kelantan dan Johor termasuk di Kulai dan Johor Bahru, katanya seperti laporan Bernama .

Beliau memberitahu media di lobi Parlimen selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa menangani inflasi hari ini yang dipengerusikan timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Arahan bertulis mengenai larangan tersebut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dikeluarkan kepada pengusaha stesen minyak terbabit dalam masa terdekat.

Beliau menambah, larangan itu akan berkuatkuasa sehingga kementerian menentukan sistem pengurusan subsidi yang lebih sesuai.

Sabit kesalahan, pengusaha stesen boleh didenda sehingga RM250,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya, manakala individu pula dihukum RM100,000.

Banyak kenderaan dari negara jiran datang membeli diesel dan petrol di stesen minyak di Malaysia selama ini.

ADS