BERITA

Ezam sertai semula Umno

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Mei 2008, 12:30 tengahari

Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula Umno hari ini.

Beliau yang juga bekas setiausaha politik mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menyerahkan borang keahlian tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Parlimen.

ezam joins back umno 280508 03

Ezam menyerahkan borang itu ketika Abdullah mengadakan sidang media untuk mengumumkan kemasukan semula Ezam ke dalam Umno.

Ezam menemui presiden Umno itu selama kira-kira 30 minit, mulai jam 3.30 petang tadi.

Ezam hadir sama dalam sidang akhbar tersebut tetapi tidak membuat sebarang kenyataan. Beliau akan mengadakan sidang akhbar pagi esok.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah bekas setiausaha AMK, SD Johari Md Yassin; bekas exco AMK, Abdul Ghani Haron dan bekas setiausaha AMK Selangor, Nazmi Salleh.

Tanpa syarat

Menurut Abdullah, Ezam menyertai semula Umno tanpa sebarang syarat atau keistimewaan.

Sebelum ini, Ezam dilaporkan akan dilantik sebagai senator dan menerajui sebuah syarikat berkaitan kerajaan selepas menyertai semula Umno.

Abdullah berkata, Ezam mahu kembali semula kepada Umno dan parti itu mengalu-alukannya.

ezam joins back umno 280508 04 "Bila nak masuk saya terimalah. Boleh terima dah, tak ada syarat apa-apa.

"Dulu dia di luar dan kritikal terhadap parti. Kini sudah ubah fikiran, mungkin kerana merasa Umno adalah landasan lebih baik untuknya.

"Mungkin dia insaf, Umno lebih baik untuk dia," tambah perdana menteri.

Presiden Umno itu berkata, borang penyertaan keahlian Ezam akan diserahkan di cawangan yang beliau mahu sertai.

Perdana menteri berkata, tiada sebarang jawatan yang akan ditawarkan kepada Ezam "dan Ezam sendiri pun tidak meminta jawatan".

Rebut jawatan

"Umno adalah sebuah parti politik, bukan sebuah syarikat," kata Abdullah tanpa mengulas lanjut.

ezam joins back umno 280508 02 Presiden Umno juga berkata, Pemuda Umno tidak menentang kemasukan Ezam ke dalam Umno.

Ketika ditanya mengenai kemasukan ahli-ahli Parti Keadilan (PKR) lain ke dalam Umno, Abdullah berkata,"kita tengoklah."

Abdullah juga ditanya sama ada Ezam boleh bertanding merebut jawatan dalam pemilihan Umno Disember ini.

"(Untuk) Ezam bertanding, kena tengok perlembagaan parti (Umno) dahulu," katanya.

Dalam perkembangan lain, perdana menteri menjelaskan kerajaan belum membuat apa-apa keputusan berhubung tuntutan royalti minyak Terengganu.

Isu royalti Petronas

Menteri besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dilaporkan menuntut kerajaan pusat mengembalikan semula wang royalti Petronas untuk diuruskan oleh kerajaan negeri itu.

Kerajaan membatalkan wang royalti dan menukarkan kepada wang ehsan apabila negeri itu jatuh ke tangan PAS dalam pilihanraya umum 1999.

Abdullah juga ditanya mengenai kenyataan ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman meminta perdana menteri menilai semula pelantikan Datuk Zaid Ibrahim sebagai seorang menteri.

Tajuddin mendakwa Zaid telah menyerang secara terbuka ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di luar Dewan Rakyat, yang dianggapnya penentang kerajaan.

Mengulas perkara itu, Abdullah berkata: "Kita ahli dan wakil rakyat Umno, kadang-kadang buat teguran terhadap parti kerana inilah amalan kita dan bukan salahpun membuat teguran.

"Tetapi kalau salah, kita peringat dia. Kalau setakat dia kata dasar kurang kemas, tidak perlu ambil tindakanlah."

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.